Dari 100 jadi 400 orang, penduduk jelaskan sebab Rohingya diminta keluar

KEPALA BATAS – Pertambahan komuniti Rohingya di Kampung Kuala Muda, Penaga hampir empat kali ganda daripada 108 orang pada 2018 kepada kira-kira 400 tahun ini menjadi punca utama penduduk meminta penempatan itu dikosongkan.
Jumlah rumah yang didiami komuniti berkenaan turut meningkat daripada 12 kepada 33, dengan sesetengah kediaman menempatkan lebih 20 orang daripada tiga atau empat keluarga, sekali gus mencetuskan keresahan mengenai kesesakan, perubahan landskap sosial kampung dan persaingan pekerjaan termasuk dalam sektor perikanan.
Penduduk bagaimanapun menafikan komuniti itu diusir secara paksa, sebaliknya menegaskan notis sebulan telah diberikan sebelum mereka meninggalkan penempatan berkenaan pada 26 Julai lalu.

Seramai 121 daripada mereka kemudian menaiki empat bas menuju ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur untuk mendapatkan bantuan, manakala penghuni lain berpindah sendiri ke kawasan lain.
Kumpulan yang berada di hadapan pejabat UNHCR itu kemudiannya dipindahkan dan ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Tinjauan Sinar Harian mendapati Kampung Kuala Muda yang sebelum ini menempatkan komuniti berkenaan kini bertukar sunyi selepas semua penghuninya berpindah keluar.

Kebanyakan rumah sewa yang sebelum ini didiami etnik Rohingya telah dikosongkan dan tiada lagi kelibat mereka di sekitar kawasan tersebut.
Sebahagian penghuni turut meninggalkan barangan bersaiz besar seperti peti ais, dapur dan tilam di rumah sewa masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN: Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan UNHCR dipindahkan ke IPK KL - Polis
Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?
Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis
Pelarian Rohingya miliki dokumen UNHCR sah - Ketua Polis KL
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kuala Muda, Yahaya Mohamed Ismail, 57, berkata, penduduk kecewa apabila tindakan meminta komuniti itu berpindah disalah tafsir sehingga digambarkan seolah-olah berlaku paksaan dan layanan tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, proses perpindahan dilaksanakan secara teratur dan berhemah hasil persetujuan yang dicapai menerusi beberapa siri perbincangan bersama agensi kerajaan, wakil komuniti Rohingya dan UNHCR.
“Apa yang paling mengecewakan kami ialah apabila mereka pergi ke Kuala Lumpur dan mendakwa penduduk Kuala Muda menggunakan kekerasan, tidak memberi masa untuk membuat persiapan serta menganiaya mereka. Semua itu tidak benar.
“Kami langsung tidak menggunakan kekerasan. Sebaliknya, tempoh sebulan diberikan kepada pemilik rumah dan penyewa untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
“Pada hari perpindahan, penduduk kampung datang mengucapkan selamat jalan, bersalaman dan melambai ketika mereka menaiki bas.
"Tiga imam turut dijemput membaca doa sebelum bas bergerak. Semuanya dilakukan secara baik dan berhemah,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Yahaya berkata, keputusan meminta komuniti itu berpindah bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya selepas perbincangan melibatkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jawatankuasa Unit Nelayan, Jawatankuasa Masjid, Polis Diraja Malaysia, Majlis Keselamatan Negara, Pejabat Daerah, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Majlis Bandaraya Seberang Perai, wakil komuniti Rohingya serta UNHCR.
Katanya, notis rasmi selama sebulan turut diberikan kepada pemilik rumah dan penyewa sebelum tarikh perpindahan ditetapkan.
Menurutnya, desakan supaya penempatan itu dikosongkan timbul selepas jumlah komuniti Rohingya meningkat ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pada 2018, hanya kira-kira 12 rumah didiami 108 orang, tetapi tahun ini jumlahnya meningkat kepada 33 rumah dengan kira-kira 400 penghuni," katanya.
Dengan Kampung Kuala Muda mempunyai keseluruhan kira-kira 4,500 penduduk, pertambahan komuniti Rohingya kepada 400 orang itu dianggap cukup ketara oleh penduduk setempat.
“Kami bimbang jika keadaan ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada generasi akan datang dan mengubah landskap sosial kampung,” tambah Yahaya.
Beliau berkata, antara perkara yang paling membimbangkan penduduk ialah keadaan sesetengah rumah yang dihuni sehingga tiga atau empat keluarga sekali gus.
Menurutnya, kebanyakan rumah berkenaan disewa pada kadar RM250 hingga RM300 sebulan dan dikongsi beberapa keluarga bagi mengurangkan kos.
“Dalam sebuah rumah boleh tinggal lebih 20 orang. Bayangkan ada tiga keluarga dan setiap keluarga pula mempunyai empat anak.
“Ramai pemilik rumah turut mengadu kediaman mereka ditinggalkan dalam keadaan sangat kotor sehingga memerlukan kerja pembersihan menyeluruh sebelum boleh disewakan semula,” katanya.

Mengulas aspek pekerjaan, Yahaya berkata, kira-kira 51 orang daripada komuniti itu bekerja sebagai nelayan, manakala selebihnya terlibat kerja kontrak dan pertukangan.
Walaupun tidak menafikan sumbangan mereka sebagai tenaga kerja, katanya, kehadiran sebahagian pekerja Rohingya sedikit sebanyak memberi kesan kepada peluang pekerjaan penduduk tempatan, terutama dalam sektor perikanan.
“Mereka memilih untuk bekerja dengan tekong yang mampu memberikan pendapatan lebih tinggi dan enggan turun ke laut jika hasil tangkapan dijangka rendah.
“Bukan semua mengganggu periuk nasi nelayan, hanya sebilangan. Tidak boleh dikatakan semuanya begitu,” katanya.
Yahaya berkata, daripada kira-kira 400 orang yang tinggal di penempatan berkenaan, hanya 121 menaiki empat bas ke Kuala Lumpur, manakala selebihnya berpindah sendiri ke kawasan lain.
Ujarnya, komuniti Rohingya di kampung berkenaan tidak banyak dikaitkan dengan jenayah serius, namun beberapa insiden pernah mencetuskan keresahan penduduk.
“Ada keluarga Rohingya yang didakwa menyembunyikan suspek kes rompakan, selain beberapa kes menunggang motosikal tanpa lesen sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya.
“Penduduk berharap Kampung Kuala Muda kekal bebas daripada penempatan Rohingya selepas ini.
“Hasrat kami adalah menjadikan Kuala Muda sifar Rohingya. Selagi saya masih memegang amanah sebagai Pengerusi MPKK dan Ketua Unit Nelayan, saya akan terus memantau supaya mereka tidak kembali menetap di sini,” katanya.
Kurang bergaul penduduk tempatan
Sementara itu, peniaga ikan kering, Mohd Zaini Ishak, 47, berkata, sepanjang tiga hingga empat tahun berjiran dengan komuniti itu, dia tidak pernah berdepan masalah kebersihan atau gejala sosial.
Menurutnya, kebimbangan sebenar bukan disebabkan sikap mereka, sebaliknya jumlah komuniti itu yang semakin ramai.
“Saya tidak tahu pandangan orang lain, tetapi sepanjang berjiran, saya tidak pernah mengalami sebarang masalah. Mereka tidak membuat kacau dan tidak timbul isu kebersihan atau sosial.
“Cuma pada pandangan saya, jumlah mereka sekarang terlalu ramai berbanding ketika mula-mula datang,” katanya.
Mohd Zaini berkata, komuniti berkenaan juga lebih gemar hidup dalam kelompok sendiri dan kurang bergaul dengan penduduk tempatan.
“Mereka banyak bergaul sesama mereka sahaja dan tidak bercampur dengan penduduk setempat,” katanya.

Sebelum ini, polis memaklumkan, persaingan ekonomi dan pertambahan penghuni di Kampung Kuala Muda dikenal pasti sebagai punca 121 etnik Rohingya meninggalkan penempatan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman dilaporkan berkata, proses itu dilakukan secara sukarela dengan bantuan dan penyelarasan agensi kerajaan, wakil penduduk tempatan serta wakil komuniti Rohingya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


