Pelarian Rohingya 'diusir' dari Kuala Muda miliki dokumen UNHCR sah - Polis

KUALA LUMPUR – Kesemua pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur didapati memiliki dokumen yang sah dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis telah memindahkan seramai 113 pelarian ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama wakil pejabat UNCHR pada jam 8.50 malam, Isnin.
"Jumlah itu terdiri daripada seorang lelaki warga Iraq, seorang wanita warga Somalia dan seorang wanita warga Indonesia yang merupakan isteri kepada pelarian Rohingya.
"Selain itu, seramai 110 pelarian Rohingya turut dipindahkan, melibatkan 36 lelaki dewasa, 21 wanita dewasa, 31 kanak-kanak lelaki dan 22 kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Fadil berkata, tindakan dokumentasi ke atas pelarian telah dijalankan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur (JSJN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Kuala Lumpur (JKA) serta wakil bersama pejabat UNHCR.
"Hasil dari proses dokumentasi yang dijalankan terhadap warga rohingya di pekarangan Dataran Wira IPK Kuala lumpur mendapati kesemua warga rohingya mempunyai dokumen UNHCR yang sah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Diusir dari Kampung Kuala Muda, etnik Rohingya 'serbu' pejabat UNHCR
Ratusan pelarian Rohingya berhimpun di hadapan UNHCR dipindahkan ke IPK KL - Polis
Rohingya dihalau, adakah empati rakyat Malaysia sudah habis?
Persaingan ekonomi, tapak penempatan penuh punca 121 warga Rohingya berpindah - Polis
Pelarian Rohingya miliki dokumen UNHCR sah - Ketua Polis KL
Terdahulu, media melaporkan operasi pemindahan bermula pada 8.20 malam dengan menggunakan empat trak polis, selepas dua trak yang disediakan pada awalnya tidak mencukupi berikutan kebanyakan pelarian itu turut membawa bagasi dan barangan peribadi.
Kumpulan pelarian itu tiba di ibu negara dengan menaiki tiga bas selepas diusir keluar oleh penduduk tempatan dari penempatan mereka di Kampung Kuala Muda, Penaga, Pulau Pinang.
Beliau berkata, kesemua etnik Rohingya ditempatkan sementara di Dataran Wira IPK Kuala Lumpur.
"Setakat ini, pihak UNHCR sedang berusaha mengambil tindakan lanjut ke atas komuniti pelarian yang ada pada hari ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
