Bayi dua bulan lebam dan bengkak, pasangan suami isteri ditahan

Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki mendera bayi perempuan berusia dua bulan di Tawau. Gambar hiasan
Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki mendera bayi perempuan berusia dua bulan di Tawau. Gambar hiasan
A
A
A

TAWAU - Sepasang suami isteri ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes penderaan seorang bayi perempuan berusia dua bulan di Batu 8, Jalan Apas di sini pada Isnin.

Lelaki berusia 30-an dan isterinya berusia 18 tahun ditahan di pekarangan Hospital Tawau kira-kira jam 11.45 malam bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, kes itu terbongkar selepas seorang doktor bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Tawau membuat laporan polis selepas bayi berkenaan dibawa mendapatkan rawatan oleh pasangan terbabit bersama nenek mangsa.

Menurutnya, pasangan itu pada awalnya mendakwa bayi berkenaan terjatuh, namun hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kecederaan pada tubuh mangsa.

"Doktor mendapati mangsa mengalami kesan lebam di dahi kiri, kesan gigitan pada pipi kanan serta bengkak di bahagian belakang kepala.

"Doktor kemudian dimaklumkan oleh nenek mangsa bahawa kecederaan itu dipercayai berpunca daripada perbuatan kedua-dua suspek sebelum laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menahan kedua-dua individu terbabit yang merupakan warga asing.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki melakukan penganiayaan atau penderaan terhadap kanak-kanak dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.

Dalam pada itu, Wilynton merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan (KKM), khususnya petugas Hospital Tawau atas tindakan pantas mengesan kecederaan dialami mangsa serta menyalurkan maklumat kepada polis.

Artikel Berkaitan:

"Polis memandang serius sebarang bentuk penderaan terhadap kanak-kanak dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melakukan perbuatan sedemikian.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes penderaan atau pengabaian kanak-kanak diminta segera menyalurkan kepada balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan segera diambil demi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa sentiasa terpelihara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!