'Caj hanya 10 sen' - Peniaga terjejas di PPR Paya Nahu ditawar niaga di Laman Sekupang

SUNGAI PETANI – Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Paya Nahu yang terjejas susulan operasi merobohkan gerai minggu lalu ditawarkan tapak niaga Laman Sekupang bagi membolehkan mereka meneruskan perniagaan serta-merta.
Setiausaha Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK), Mohamad Hilmi Marzuki berkata, selain dibenarkan berniaga di tapak niaga Laman Sekupang Paya Nahu, pihaknya turut membantu menyumbangkan khemah kepada tujuh peniaga yang telah bersetuju berdaftar.
"Sebelum ini pada Disember 2025, kita telah menyerahkan lapan buah khemah sebagai galakan kepada peniaga menjalankan perniagaan masing-masing di Laman Sekupang Paya Nahu, namun sehingga kini, hanya dua peniaga masih bertahan.
"Jadi dengan inisiatif Yang Dipertua MPSPK, selepas operasi perobohan minggu lepas, beliau nak bantu dan bersimpati. Caj dikenakan hanya 10 sen setiap peniaga dengan syarat berniaga makanan dan minuman, perlu suntikan typhoid dengan sijil pengendalian makanan," katanya kepada media di sini pada Ahad.

Sebelum ini, Bahagian Perumahan, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Kedah menjalankan operasi merobohkan binaan haram membabitkan gerai dan struktur binaan di PPR Paya Nahu sehingga menjejaskan segelintir peniaga.
Dalam perkembangan lain, Mohamad Hilmi menjelaskan, kegusaran penduduk berhubung status 20 buah gerai sedia ada yang dikhuatiri terlibat operasi perobohan, akan dirujuk kepada Bahagian Perumahan SUK.
"Tapak gerai disediakan MPSPK pada 2017. Cuma masa tu depa meniaga, kita bagi tapak tu. Selepas itu mereka ada buat penambahan dinding dan lain-lain.
"Bila berlaku operasi ini, mereka risau terlibat, mereka juga minta bekalan air dan elektrik disambung semula. Kita akan rujuk pihak berkenaan mengenai perkara itu," katanya.

Sementara itu, salah seorang peniaga terjejas, Fazilah Zainul, 57, berkata, dia terkejut apabila gerainya dirobohkan serta-merta sehingga tidak tahu di mana hendak menyimpan alatan berniaga.
"Saya harap kalau nak beri tapak, berilah tapak yang bertutup dan boleh dikunci. Mata saya ada masalah katarak, lutut pun sakit, suami pula sakit jantung... Susah nak angkut barang setiap kali berniaga.
"Saya ada minta perhatian pihak berkenaan, harap mereka pertimbangkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


