PPR ubah nasib keluarga B40

KUALA LUMPUR - Pernah tidur dalam rumah bocor, menadah air hujan dengan baldi, berpindah-randah dari satu bilik sewa ke bilik sewa lain, malah ada yang hanya mampu memasak sekali sehari kerana kesempitan hidup.
Itulah realiti yang pernah dilalui kebanyakan keluarga sebelum memulakan kehidupan baharu di kediaman lebih selesa dan selamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Meskipun sebelum ini wujud stigma PPR dikaitkan dengan kemiskinan, gejala sosial dan pelbagai isu lain, namun program perumahan itu mengubah hidup ribuan keluarga berpendapatan rendah.
Bukan sekadar menyediakan tempat berteduh pada kadar sewa mampu milik, PPR memberi ruang kepada anak-anak membesar dalam persekitaran lebih baik sehingga dapat melanjutkan pelajaran dan akhirnya berkerjaya.

Seorang penduduk PPR Lembah Subang 1, Hazrain Aman, 54, berkata, sebelum ini dia bersama isteri, Noraini Idris, 50, dan empat anak kecil tinggal kawasan setinggan di Kampung Medan sebelum musnah dijilat api.
"Masa tinggal di setinggan, keadaan rumah memang tidak selesa, hanya ada satu bilik. Kami berhimpit dalam ruang sempit. Bila cuaca panas, bahang memang terasa dan setiap kali hujan, bumbung pula bocor hingga terpaksa guna baldi tadah air. Kawasan situ pun selalu banjir," katanya kepada Sinar Ahad.
Menurut bekas pekerja kilang itu, keadaan berubah selepas berpindah ke PPR dengan anak-anak mempunyai ruang sendiri dengan kadar sewa cuma RM124 sebulan.
Ujarnya, PPR turut menyediakan kemudahan komuniti berhampiran sekolah, masjid dan pengangkutan awam serta program pendidikan untuk kanak-kanak dan remaja.
“Anak saya pun bertambah jadi enam orang, sekarang ada kerjaya dan keluarga sendiri, cuma yang bongsu saja masih belajar dalam bidang petroleum di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Pedas, Negeri Sembilan.
"Inilah nikmat besar yang saya rasai bila tinggal di sini," katanya.
Kisah sama dikongsi Sulayli Alwi, 51, yang hidup serba kekurangan di rumah setinggan berhampiran Bukit Jalil sebelum berpindah ke PPR Desa Tun Razak, lebih dua dekad lalu.

“Dulu tak cukup makan, sehari sekali sahaja masak untuk makan malam. Rumah setinggan sempit, dinding pun guna zink. Bila diberitahu kawasan ini nak dibuat projek dan akan berpindah ke PPR, saya betul-betul seronok," ujarnya.
Ibu kepada tiga anak itu tidak pernah menyangka dapat tinggal di rumah bertingkat kerana hidupnya sering dibelenggu dengan masalah kewangan disebabkan tahap kesihatan suami.
Namun bagi Sulayli, PPR bukan lagi sekadar sebuah rumah sewa, sebaliknya menjadi tempat membina kehidupan baharu.
"Di sinilah kami membesarkan anak-anak, jiran-jiran sudah seperti keluarga sendiri," katanya.
Cabaran hidup
Seorang lagi penghuni, Siti Hawa Lee May Fong, 48, dan suaminya sebelum ini hidup dalam kesempitan dengan tinggal di sebuah bilik sewa selepas mendirikan rumah tangga, 21 tahun lalu.

"Dengan anak ketika itu masih kecil dan kerap tidak sihat. Ada masa duit memang tak cukup untuk beli susu dan lampin pakai buang.
"Bila terdesak, kami terpaksa pinjam duit daripada kawan," katanya yang mengakui kehidupan berubah selepas permohonannya untuk mendapatkan kediaman PPR diluluskan.
Ujar Siti Hawa, beban sewa rumah berkurangan meskipun masalah kewangan menjadi cabaran utama membesarkan empat anak.
Namun kesukaran itu menyebabkan salah seorang anaknya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah.
Sementara itu menurut suri rumah, Lilisurani Mamat, 45, permohonan PPR yang lulus pada 2012 telah menoktahkan perjalanan hidupnya yang sebelum ini berpindah-randah antara rumah sewa dan bilik sewa.
"Mula-mula kami duduk sewa bilik saja. Rumah itu ada enam bilik, jadi kami sewa satu bilik. Mandi pun kongsi, masak pun kongsi. Jadi macam tak selesa jugalah.
"Bila dah ada anak, kami pindah ke rumah sewa. Duduk lama juga, tapi tak mampu sebab mahal. Lepas itu berpindah-randah pula, duduk bilik dengan kawan.
“Lepas itu tuan rumah pula suruh pindah, jadi kami terpaksa cari bilik lain sampai akhirnya dapat rumah PPR," katanya.

Ujar Lilisurani, anak sulung dan kedua berusia 24 tahun serta 21 tahun sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.
“Anak bongsu umur 15 tahun masih di sekolah menengah. Alhamdulillah, PPR bukan sekadar memberi perlindungan kepada keluarganya tetapi komuniti yang amalkan semangat saling membantu sesama jiran ketika berdepan kesusahan,” katanya.
Setakat 2025, 144 projek PPR membabitkan 91,206 unit rumah telah siap dan diserahkan kepada kerajaan negeri dengan 89,073 unit atau 98 peratus telah diduduki.
Pada masa sama, 25 PPR membabitkan 13,693 unit rumah kini berada di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kadar pengisian 10,909 unit atau 79.7 peratus.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

