Mangsa baharu tampil, JKNS diminta jelaskan status siasatan gangguan seksual hospital

JKNS perlu menjelaskan status terkini pengarah hospital berkenaan termasuk sama ada beliau masih menjalankan tugas atau telah digantung sementara menunggu tindakan susulan. Gambar kecil: Tek Ming (atas) dan Istefan
JKNS perlu menjelaskan status terkini pengarah hospital berkenaan termasuk sama ada beliau masih menjalankan tugas atau telah digantung sementara menunggu tindakan susulan. Gambar kecil: Tek Ming (atas) dan Istefan
A
A
A

KOTA KINABALU - Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) digesa memberikan penjelasan berhubung status siasatan dalaman terhadap dakwaan gangguan seksual membabitkan seorang pengarah hospital, susulan kemunculan seorang lagi individu yang mendakwa menjadi mangsa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming berkata, pihaknya memandang serius perkembangan terbaharu itu dan menggesa Kementerian Kesihatan  (KKM) mengambil alih siasatan secara bebas, telus dan menyeluruh.

Dalam kenyataan bersama Ketua Biro Kesihatan Parti Warisan (Warisan), Dr Istefan Koh, beliau berkata, kemunculan mangsa baharu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan tindakan yang telah diambil selepas aduan terdahulu.

"Menurut maklumat yang kami terima, satu siasatan dalaman telah dijalankan pada tahun lalu berhubung dakwaan yang melibatkan pengarah hospital tersebut.

"Difahamkan, hasil siasatan itu telah mengesyorkan supaya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mangsa serta menjalani persaraan awal," katanya pada Jumaat.

Menurut kenyataan itu, JKNS perlu menjelaskan status terkini pengarah hospital berkenaan termasuk sama ada beliau masih menjalankan tugas atau telah digantung sementara menunggu tindakan susulan..

"Adakah pengarah hospital tersebut masih dibenarkan meneruskan tugas selepas siasatan dalaman selesai, atau adakah beliau telah digantung tugas sementara menunggu pelaksanaan persaraan awal?

"Jika beliau masih terus berkhidmat sehingga hari ini, apakah justifikasi JKNS membenarkan perkara itu berlaku?," katanya.

Mereka turut mempersoalkan tempoh pelaksanaan syor persaraan awal yang didakwa masih belum dilaksanakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penjelasan perlu diberikan mengenai faktor kelewatan serta pihak yang bertanggungjawab sekiranya tindakan susulan belum dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut kenyataan itu lagi, persoalan yang dibangkitkan bukan bertujuan membuat sebarang kesimpulan terhadap mana-mana individu sebelum siasatan selesai, sebaliknya bagi memastikan akauntabiliti dalam pentadbiran.

"Rakyat berhak mengetahui sama ada kelewatan atau kegagalan melaksanakan tindakan susulan telah mewujudkan risiko sehingga seorang lagi individu didakwa menjadi mangsa.

"Kami menggesa Pengarah Kesihatan Negeri Sabah tampil memberikan penjelasan secara terbuka mengenai status pelaksanaan syor siasatan dalaman tersebut.

"Sekiranya benar syor telah dikeluarkan, adakah ia telah dilaksanakan sepenuhnya? Jika tidak, apakah sebabnya dan siapakah yang bertanggungjawab terhadap kelewatan tersebut?" katanya.

Tek Ming dan Istefan turut menggesa KKM mengambil alih siasatan bagi meneliti pengendalian kes pertama serta tindakan pentadbiran yang diambil selepas siasatan dalaman selesai.

"Setiap petugas kesihatan berhak bekerja dalam persekitaran yang selamat, bermaruah dan bebas daripada gangguan seksual, buli serta penyalahgunaan kuasa.

"Kepercayaan rakyat terhadap sistem kesihatan hanya dapat dipulihkan melalui ketelusan, akauntabiliti dan tindakan yang tegas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!