JKNS selesai siasatan dakwaan serangan seksual, buli libatkan pengarah hospital

KOTA KINABALU - Siasatan terperinci berhubung dakwaan serangan seksual dan buli melibatkan pengarah sebuah hospital di negeri ini telah selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), pihaknya mengambil maklum berhubung isu yang tular di media sosial dan tindakan susulan sedang diambil mengikut prosedur yang ditetapkan.
"JKNS memandang serius dakwaan ini dan ingin memaklumkan bahawa siasatan terperinci telah pun selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas yang dilantik oleh KKM bagi menyiasat perkara tersebut.
"Hasil siasatan telah diperolehi dan syor-syor tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta perundangan semasa yang berkuat kuasa," katanya pada Khamis.
JKNS dalam pada itu turut menegaskan bahawa pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, khususnya perbuatan serangan seksual, gangguan dan buli di tempat kerja.
"Sebarang perlakuan sedemikian adalah bertentangan dengan nilai integriti serta etika perkhidmatan awam, di samping memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal dan mental warga kerja kesihatan.
"JKNS kekal komited untuk memastikan setiap warga kerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, saling menghormati dan kondusif," kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, JKNS akan terus memperkukuh usaha bagi memelihara integriti organisasi serta kebajikan warga kerjanya.
"JKNS menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan ruang diberikan kepada proses pentadbiran yang sedang dilaksanakan agar dapat disempurnakan secara teratur, adil dan selaras dengan peraturan yang berkuat kuasa," katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
