Dakwaan gangguan seksual di hospital: Polis sahkan terima laporan

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Polis mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan gangguan seksual yang tular melibatkan sebuah hospital, di sini dan siasatan sedang dijalankan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, kes berkenaan kini dalam siasatan polis mengikut peruntukan undang-undang berkaitan gangguan seksual.
"Ya, polis telah menerima laporan ini dan siasatan sedang dijalankan. Kes disiasat di bawah seksyen berkaitan gangguan seksual," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai video tular yang didakwa membabitkan gangguan seksual di hospital tersebut selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, Jauteh tidak mengulas lanjut mengenai butiran siasatan memandangkan kes itu masih dalam siasatan polis.
Sementara itu, Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah menegaskan, Datuk Julita Majungki berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang dakwaan gangguan seksual dan memaklumkan tindakan susulan telah dimulakan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Julita Majungki berkata, kementerian memandang serius perkara berkenaan dan mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk gangguan seksual.
"Sudah tentu tindakan yang sewajarnya telah dimulakan. Kita memang sedar mengenai perkara ini dan di peringkat kementerian, kita memandang serius isu ini serta mengamalkan dasar sifar toleransi.
"Kita juga memastikan perkara ini dapat diselaraskan bersama KKM," katanya.
Ketika ditanya mengenai tempoh masa bagi tindakan susulan, Julita berkata perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa KKM dan JKNS, justeru meminta semua pihak menunggu pengumuman rasmi.
"Saya tidak boleh dedahkan apa-apa lagi buat masa ini. Tetapi cukuplah saya katakan bahawa kita tidak membiarkan perkara ini begitu sahaja. Kita sebenarnya telah memulakan beberapa tindakan dan sedang melaksanakannya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
