Ladang babi Kuala Langat dijangka kosong sepenuhnya Oktober depan - Exco Selangor

SHAH ALAM - Operasi pengosongan ladang babi di Kuala Langat dijangka selesai apabila baki kira-kira 12,000 ekor babi yang masih berada di kawasan itu dilupuskan sepenuhnya secara berperingkat menjelang Oktober depan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata, ketika ini sebahagian besar babi masih tinggal merupakan anak babi yang belum mencapai umur matang untuk dilupuskan.
Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini menetapkan anak babi hanya akan dilupuskan apabila mencapai usia antara tujuh hingga lapan bulan.
"Ketika kemuncak dahulu terdapat kira-kira 240,000 ekor babi di kawasan berkenaan, namun saya jangka jumlah itu juga mungkin sudah berkurangan selepas audit terkini dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
"Menjelang Oktober nanti, semua proses pengosongan dijangka selesai kecuali jika berlaku kes penyakit yang memerlukan tindakan pelupusan lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Bengkel Semakan Semula Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ICM) Negeri Selangor (2022-2030) Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di sini pada Khamis.
Izham berkata, pengurangan populasi babi itu turut menunjukkan kesan positif terhadap alam sekitar apabila pencemaran air dan kawasan pantai di sekitar lokasi itu semakin pulih.
"Kalau kita tengok sekarang, kesan terhadap kualiti air semakin baik dan kawasan pantai juga semakin bersih," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengarahkan DVS bersama perunding menjalankan kajian menyeluruh terhadap status tanah bekas ladang babi bagi menilai tahap pencemaran dan merancang usaha pemulihannya.
Katanya, kajian itu penting kerana kawasan itu telah digunakan untuk aktiviti penternakan sejak beberapa generasi, selain membantu bekas penternak beralih kepada sektor pertanian lain sebagai sumber pendapatan baharu.
"Kita juga sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian bagi mendapatkan bantuan Persekutuan untuk melaksanakan usaha pemulihan tanah dan membantu bekas penternak mengusahakan tanaman bersesuaian," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

