Sabah nafi penukaran RM200 juta SDBank satu 'bailout'

Mohd Ishak (kiri) dan Mohd Shafie
Mohd Ishak (kiri) dan Mohd Shafie
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah menolak dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa penukaran deposit tetap sedia ada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta di Sabah Development Bank Berhad (SDBank) kepada Saham Keutamaan Boleh Tebus (RPS) merupakan suatu tindakan 'bailout'.

Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Mohd Ishak Ayub menjelaskan kerajaan tidak menyuntik dana baharu ke dalam SDBank kerana wang berjumlah RM200 juta itu sememangnya telah didepositkan di bank berkenaan.

"Wang berjumlah RM200 juta tersebut sememangnya telah didepositkan di bank berkenaan.

"Penukaran deposit tersebut kepada RPS akan memperkukuh asas modal SDBank, di samping memberikan pulangan dividen tahunan sebanyak 3.15 peratus kepada keajaan negeri, bersamaan kira-kira RM6.3 juta setahun," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, langkah itu penting kerana kegagalan SDBank akan mendedahkan kerajaan negeri kepada kira-kira RM3 bilion dalam bentuk bon tertunggak dan liabiliti lain.

"Memandang SDBank dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah. Oleh itu, pilihannya adalah jelas, memperkukuh bank menggunakan dana yang sememangnya telah berada dalam SDBank, atau berdepan risiko menanggung beban kewangan yang jauh lebih besar pada masa hadapan.

"Ini bukan suatu 'bailout'. Ini merupakan langkah pengurusan risiko kewangan yang berhemat dan bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata, sejak separuh kedua tahun 2023, lembaga pengarah dan pengurusan baharu SDBank telah mengambil langkah menangani kelemahan tadbir urus yang berlarutan, mengiktiraf kemerosotan nilai legasi serta melaksanakan program transformasi secara menyeluruh.

Katanya, walaupun langkah itu menyebabkan kerugian dalam jangka pendek, ia berjaya meningkatkan ketelusan dan kebertanggungjawaban selain memberikan gambaran lebih tepat mengenai kedudukan kewangan sebenar bank.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, instrumen hutang SDBank terus menerima penarafan AA1/Stable/P1 daripada RAM Ratings, sekali gus mencerminkan keyakinan terhadap kepentingan strategik bank, sokongan kerajaan negeri dan keupayaannya memenuhi obligasi kewangan sepanjang proses pemulihan.

Dalam pada itu, Mohd Ishak berkata, sepanjang dua tahun pentadbiran Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri, kutipan tunai daripada Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) hanya berjumlah RM260 juta.

"Sebaliknya, sejak Julai 2023, lembaga pengarah dan pengurusan semasa telah berjaya memperoleh semula kira-kira RM3.3 bilion secara tunai, walaupun mewarisi portfolio NPL legasi yang besar.

"Dakwaan bahawa Sabah International Petroleum Sdn Bhd (SIP) merupakan satu lagi tindakan 'bailout' juga mengelirukan.

"Melalui pelaksanaan penstrukturan semula yang berdisiplin, termasuk penerbitan Sukuk Wakalah berjumlah RM900 juta dan pemindahan kepentingan ekuiti SIP sebanyak 10 peratus dalam LNG9 kepada SMJ Energy, SIP kini bebas daripada hutang, mempunyai kedudukan kewangan yang lebih kukuh serta memperoleh jaminan aliran hasil untuk tempoh sepuluh tahun lagi menerusi lanjutan terkini asetnya di Indonesia.

"Ini bukan suatu 'bailout'. Ia merupakan penstrukturan semula yang berjaya, yang telah memelihara aset strategik negeri, memulihkan kemampanan kewangan dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk Sabah," tegasnya.

Beliau turut menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri mengutamakan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) berbanding penyediaan perkhidmatan awam.

Katanya, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan turut menyediakan peruntukan besar bagi loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

"Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan menyediakan peruntukan besar bagi loji rawatan air, rumah pam, jalan raya, jambatan, bekalan air luar bandar, perumahan, pendidikan dan kebajikan.

"Tiada pihak swasta yang mendapat manfaat. SDBank, SIP dan SMJ Energy semuanya dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan negeri Sabah. Adalah mudah untuk mengkritik usaha memulihkan sesebuah institusi apabila seseorang itu tidak lagi memikul tanggungjawab mentadbir.

"Apa yang jauh lebih sukar ialah membuat keputusan yang perlu demi melindungi kepentingan rakyat, walaupun keputusan tersebut mungkin tidak popular.

"Kerajaan ini memilih untuk menghadapi dan menyelesaikan masalah yang diwarisinya, bukannya menafikan kewujudan masalah tersebut atau membiarkannya menjadi beban kepada generasi akan datang.

"Datuk Seri Mohd Shafie sememangnya berhak meneliti dan mempersoalkan keputusan Kerajaan. Namun, perbahasan awam mestilah berlandaskan fakta.

"Tindakan berulang kali melabelkan penstrukturan kewangan yang bertanggungjawab sebagai suatu 'bailout' tidak akan menjadikannya benar, dan juga tidak menawarkan sebarang dasar alternatif yang berwibawa.

"Kerajaan akan terus membuat keputusan yang bertanggungjawab bagi melindungi kewangan Sabah, memelihara aset-aset strategik Negeri serta menjamin kepentingan jangka panjang rakyat Sabah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!