Desakan ahli Kongres AS cabar kedaulatan Malaysia - Menteri Agama

Zulkifli
Zulkifli
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan lapan ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mendesak Setiausaha Negaranya, Marco Rubio untuk mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia merupakan bibit campur tangan asing yang jelas mencabar kedaulatan tanah air.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan tiada keperluan berbuat demikian memandangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf entiti haram Israel, malah tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik.

Justeru, menurut beliau, pihaknya menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertahankan dasar luar negara yang berasaskan kedaulatan, prinsip undang-undang antarabangsa, nilai kemanusiaan serta pendirian konsisten Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.

"Malaysia mesti terus berdiri teguh dengan dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip. Berkawan dengan semua negara yang berdaulat, namun kekal berani menyuarakan kebenaran apabila berlaku pencabulan hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.

"Sebagai rakyat Malaysia, kami berikrar untuk berdiri teguh di belakang kepimpinan Anwar selaku pemimpin negara dan pejuang hak asasi sejagat.

"Kami bersatu hati dan bersetia untuk mempertahankan maruah, kebebasan dan kedaulatan Malaysia daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sinar Harian melaporkan, gesaan Ahli Kongres AS itu dibuat menerusi surat kepada Rubio pada 21 Julai lalu yang turut meminta Washington mempertimbangkan penggantungan pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) sekiranya Malaysia tidak mengubah pendiriannya dalam tempoh 15 hari.

Dalam surat tersebut, mereka mendakwa tindakan Malaysia menyasarkan warga Israel berdasarkan kewarganegaraan.

Surat tersebut turut menulis bahawa keengganan Malaysia mengiktiraf Israel sudah cukup membimbangkan dan paling tidak boleh diterima sama sekali apabila seorang ketua kerajaan secara terbuka mengisytiharkan negaranya bakal mengusir rakyat daripada salah sebuah sekutu rapat AS hanya disebabkan kewarganegaraannya Israel.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, kumpulan Ahli Kongres berkenaan menggesa Jabatan Negara AS menggunakan semua saluran diplomatik bagi mendesak Malaysia mengubah pendiriannya.

Surat berkenaan diketuai Ahli Kongres Greg Landsman bersama Josh Gottheimer serta turut ditandatangani Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.

Isu itu timbul susulan dakwaan terdapat individu yang mempunyai kewarganegaraan Israel memasuki Malaysia menggunakan pasport negara lain bagi menyertai program Network School di Forest City, Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!