Tindakan Ahli Kongres AS biadab, seolah-olah mahu campuri urusan kedaulatan negara - Fahmi

KUALA PILAH - Tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) menyuarakan rasa tidak berpuas hati terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengusiran rakyat Israel seolah-olah mahu mencampuri urusan kedaulatan negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tindakan berkenaan juga disifatkan sebagai biadab.
"Kita akan sampaikan mesej yang sangat jelas kepada Kedutaan AS 'Jangan campuri urusan dalaman termasuk isu imigresen bagi negara Malaysia'.
"Kita tidak akan berdiam diri, negara ini negara yang berdaulat. Sekiranya ada mana-mana pihak, individu didapati melanggar syarat-syarat maka kita mempunyai kuasa, kita mempunyai hak untuk menghalau dan mengusir mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat sesi latihan kompang dan permainan gasing di Felda Kepis bersama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senaling, Mohd Hanis Alimin pada Rabu.
Sebelum ini, Anwar menegaskan kerajaan akan mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kerakyatan dan menetap di negara ini sekiranya dakwaan itu terbukti benar.
Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai Network School susulan dakwaan terdapat warga Israel mempunyai dua kerakyatan menetap di kawasan berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan warga Israel sertai Network School di Forest City, Onn Hafiz gesa siasatan menyeluruh
Syabas rakyat Malaysia prihatin tentang Network School
Batal lesen, permit Network School jika langgar undang-undang - Tunku Mahkota Ismail
Network School didapati langgar syarat pelesenan
Network School tangguh pelaburan baharu di Malaysia, pengasas mohon jaminan kerajaan
Isu Network School: Ahli Kongres AS desak semak hubungan AS - Malaysia
Susulan perkembangan itu, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada Parti Demokrat.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Landsman di Facebook miliknya, mereka menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan Anwar dan menggesa kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Perdana Menteri itu didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Mengulas lanjut, Menteri Komunikasi itu berkata, pendirian kerajaan Persekutuan juga amat tegas berkait isu Network School yang mempunyai dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan Forest City.
"Jadi, jangan cuba mencampuri urusan dalaman negara kita. Itu bukan satu perkara yang baik dan kita akan pastikan Kedutaan AS mengetahui pendirian ini.
"Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini (Rabu) juga berpendirian negara ini tidak akan berkompromi berhubung isu itu," katanya.
Ujarnya lagi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail juga sudah memaklumkan kepada Jemaah Menteri proses siasatan berkait isu itu sedang diperhalusi membabitkan 11 individu yang dipercayai mempunyai dua kerakyatan.
Beliau berkata, bagi Jabatan Imigresen dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), tidak berlaku apa-apa kesalahan yang dikenal pasti tetapi siasatan itu diteruskan.
"Sehingga tadi, Menteri Dalam Negeri memaklumkan tidak ada warganegara Israel dikesan dalam kalangan 266 orang yang disiasat dan ditemui Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
