'Anti-Semitism' diperalat untuk campur tangan urusan Malaysia

SHAH ALAM - Label anti-Semitism didakwa terus diperalatkan sebagai alasan untuk mencampuri urusan dalaman Malaysia susulan desakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) supaya Washington mengkaji semula hubungan dengan negara ini.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, tindakan itu mencerminkan sikap AS yang mahu menentukan dasar negara lain walaupun Malaysia merupakan sebuah negara berdaulat dan demokratik.
"Ini memang sikap AS, mahu menentukan dasar-dasar negara lain yang berdaulat dan demokratik.
"Seperti biasa, label anti-Semitism telah diperalatkan untuk membungkam sebarang bentuk kritikan terhadap negara Israel. Anti-Semitism dijadikan alasan untuk masuk campur urusan Malaysia," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan mengusir rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kerakyatan dan menetap di negara ini sekiranya dakwaan itu terbukti benar.
Kenyataan itu dibuat selepas kerajaan Johor menggesa pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai Network School susulan dakwaan terdapat warga Israel mempunyai dua kerakyatan menetap di kawasan berkenaan.
Susulan perkembangan itu, lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap pendirian Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka ialah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada Parti Demokrat.
Berdasarkan surat yang dimuat naik Landsman di Facebook miliknya, mereka menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan Anwar dan menggesa kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Perdana Menteri itu didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, wakil rakyat AS sepatutnya menumpukan usaha menghentikan konflik yang melibatkan negara mereka berbanding mencampuri urusan pentadbiran Malaysia.
"Daripada cuba memberitahu kita cara menguruskan hal ehwal negeri kita sendiri, lebih baik wakil-wakil rakyat AS tingkatkan usaha untuk menghentikan perang AS dengan Iran, yang membawa banyak kesedihan dan kesusahan kepada dunia.
"Dunia sedang membayar harga akibat sifat angkuh Amerika, namun mereka tanpa segan silu mahu menentukan cara kita mentadbir negara kita sendiri," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Dakwaan warga Israel sertai Network School di Forest City, Onn Hafiz gesa siasatan menyeluruh
Syabas rakyat Malaysia prihatin tentang Network School
Batal lesen, permit Network School jika langgar undang-undang - Tunku Mahkota Ismail
Network School didapati langgar syarat pelesenan
Network School tangguh pelaburan baharu di Malaysia, pengasas mohon jaminan kerajaan
Isu Network School: Ahli Kongres AS desak semak hubungan AS - Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

