Malaysia kekal pendirian sekat kemasukan warga Israel - PM

Anwar berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, pada Rabu.
Anwar berucap pada Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN – Malaysia akan terus mempertahankan dasar melarang kemasukan mana-mana warganegara Israel ke negara ini, termasuk dalam soal perdagangan walaupun menerima kritikan daripada beberapa penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar tersebut tidak sepatutnya dipersoalkan kerana ia telah dilaksanakan Malaysia sejak puluhan tahun lalu dan bukanlah sesuatu yang baharu.

"Ternyata mereka tidak ikuti langsung perkembangan. Banyak negara yang melarang dan Malaysia melarang sudah puluhan tahun.

"Jadi mereka menggunakan kesempatan sekarang untuk mengugut saya dan Malaysia dengan memohon supaya kerajaan Amerika mengambil tindakan," katanya ditemui pemberita selepas Program Jelajah Rakan Muda di Kompleks Belia dan Sukan Paroi, di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas gesaan sekumpulan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mahu pentadbiran negara itu mengkaji semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan tindakan Putrajaya terhadap warga Israel yang didakwa memasuki negara ini menggunakan pasport negara kedua.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, Malaysia berhak menentukan dasar sendiri.

Jelasnya, penentangan terhadap Israel berikutan kezaliman, penjajahan serta pembunuhan yang dilakukannya setiap hari yang menyebabkan ramai umat Islam yang terkorban.

"Saya jawab dengan jelas. Pertama dia kena faham ini negara merdeka dan berdaulat dan tentangan kita kepada Israel kerana kezaliman, penjajahan serta pembunuhan yang dilakukan setiap hari.

"Mana mungkin pemimpin negara mereka boleh memadamkan kenyataan tentang pembunuhan anak-anak dan rakyat, wanita, pemusnahan rumah dan penaklukan negeri yang dilakukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang ugutan tidak akan mengubah pendirian Malaysia berhubung perkara itu.

Tambahnya, sesetengah negara dan penggubal undang-undang sememangnya boleh memilih untuk menjadi sangat selektif atau berdiam diri terhadap kekejaman dilakukan.

"Tetapi kami tidak berbuat demikian. Malaysia adalah sebuah negara merdeka.

"Kami menggunakan hak kami dan berbangga untuk mengatakan bahawa rakyat Malaysia menghormati hak lelaki dan wanita serta semangat kemanusiaan dan akan meneruskan dasar yang menghalang kemasukan warganegara Israel di Malaysia," katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa Malaysia tidak mempunyai masalah dengan mana-mana negara tetapi menentang sebarang bentuk jenayah, pembunuhan dan kezaliman.

Beliau juga berpendapat pendirian tersebut tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat kerana negara itu sedia maklum akan dasar negara ini.

Malah ujarnya, Malaysia masih menerima baik rakyat negara itu termasuklah dalam urusan perniagaan dan pelaburan.

"Kita tidak ada masalah dengan mana-mana rakyat. Kita hanya ada masalah dengan mana-mana kes jenayah, pembunuhan dan kezaliman.

"Malah dalam perjumpaan saya dengan Presiden Trump, saya beritahu ada berjumpa dengan Ketua Hamas untuk menyatakan simpati kepada keluarga mereka yang baru mengalami mangsa pengebomban dan pembunuhan," katanya.

Tegasnya, adalah mustahil Malaysia hanya mampu berdiam diri melihat kezaliman yang berterusan dilakukan terhadap mereka yang tidak bersalah termasuk rakyat Palestin dan Gaza.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!