X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia cadang pelan pemulihan ekonomi ASEAN

Muhyiddin menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN Mengenai Covid-19 menerusi persidangan video di Perdana Putra, Putrajaya hari ini. Turut hadir, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba (kiri) dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mencadangkan pelan pemulihan ekonomi ASEAN dapat dilaksanakan untuk memberikan tumpuan kepada aspek ekonomi, kewangan dan kebajikan yang kini terjejas akibat koronavirus (Covid-19).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ASEAN perlu bekerjasama sebagai satu blok di rantau ini dan memastikan tiada sesiapa yang tercicir selepas ancaman Covid-19 berakhir.

"Melihat ke hadapan, Malaysia ingin mencadangkan menteri-menteri ekonomi kita mengadakan perbincangan dengan segera untuk membentuk satu rancangan pemulihan ekonomi ASEAN yang memberikan tumpuan bukan sahaja aspek kewangan ekonomi tetapi kebajikan sosial, keselamatan makanan dan pendidikan untuk masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Persidangan Khas ASEAN Mengenai Covid-19 yang diadakan secara dalam talian di sini hari ini.

Persidangan video itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc dan disertai oleh ketua-ketua kerajaan 10 anggota pertubuhan serantau itu.

Menurut Muhyiddin, pelan pemulihan ekonomi ASEAN perlu merangkumi langkah-langkah yang akan diambil sebagai sebuah rantau bagi menangani isu-isu yang dihadapi oleh lebih daripada 600 juta rakyat.

"Dengan memastikan rantaian bekalan, bekalan perubatan, makanan dan barang keperluan serta infrastruktur kritikal seperti laluan perdagangan melalui udara, darat dan laut tetap dipelihara dan terbuka.

"Kita juga mesti mengelak daripada sebarang sekatan yang tidak perlu terhadap pengedaran perubatan, makanan dan bekalan penting," katanya.

Ujar Perdana Menteri, Malaysia turut menggesa negara anggota ASEAN untuk mengukuhkan negara mereka dalam menghadapi landskap baru di rantau itu.

"Kita tidak boleh membenarkan ASEAN kembali kepada zon selesa tetapi menjadikan ASEAN muncul sebagai pusat pertumbuhan baru, sebuah kuasa baru yang bukan sahaja untuk 600 juta orang kita tetapi untuk dunia," katanya.

Dalam pada itu, Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan Dana Khas Covid-19 ASEAN untuk untuk meningkatkan skala stok kecemasan sedia ada bagi menghadapi kemungkinan wabak pada masa depan.

"ASEAN perlu terus membangunkan rizab bekalan perubatan serantau, selain menggunakan rizab gudang simpanan sedia ada yang relevan bagi membantu keperluan negara anggota ketika kecemasan kesihatan," katanya.

Tambah beliau, pelbagai mekanisme dan struktur ASEAN, yang diterajui oleh Malaysia, seperti Pusat Rangkaian Operasi Kecemasan ASEAN bagi Kecemasan Kesihatan Awam (ASEAN EOC Network) dan Pusat Penilaian Risiko dan Komunikasi ASEAN (ARARC) telah terbukti dapat berfungsi dengan berkesan dalam mencari penyelesaian krisis.

"Malaysia sentiasa bersedia untuk memerangi pandemik ini bersama-sama anggota ASEAN yang lain," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus