Alasan beli pil perancang ingkar PKP

Antara orang awam yang ditahan. -Foto IPD Kemaman
Antara orang awam yang ditahan. -Foto IPD Kemaman
A
A
A

KEMAMAN- "Nak beli pil perancang, tuan." Itu antara alasan tidak munasabah yang diberikan orang awam kepada polis sewaktu ditahan di sekatan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, sikap sesetengah individu yang berterusan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan pihaknya mengambil pendekatan lebih tegas bagi mengelakkan orang ramai terus mengambil kesempatan.

Menurutnya, jika sebelum ini mereka hanya meminta individu yang terlibat untuk berpatah balik setelah nasihat diberikan, polis kini mengambil langkah untuk mengenakan kompaun dan tangkap jika mereka ingkar.

"Bayangkan, setiap hari kira-kira 3,500 kenderaan yang masuk Bandar Chukai. Daripada jumlah itu, purata 300 kenderaan yang kita minta patah balik sebab alasan yang mengarut dan tidak munasabah.

"Sekarang ini kami ambil mengambil pendekatan meletakkan gegantung peringatan yang besar di lokasi sekatan jalan raya. Tapi kalau mereka masih lagi berdegil, maaf..tiada layanan kayangan untuk mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Hanyan bersama gegantung besar yang dihasilkan IPD Kemaman untuk diletakkan di sekatan jalan raya. -Foto: IPD Kemaman
Hanyan bersama gegantung besar yang dihasilkan IPD Kemaman untuk diletakkan di sekatan jalan raya. -Foto: IPD Kemaman

Jelas Hanyan, gegantung itu mula dipasang di empat lokasi sekatan jalan raya iaitu di Bukit Kuang, Sekolah Kebangsaan Pusat, Mak Lagam dan Tol Chukai.

Katanya, gegantung itu sebagai amaran keras kepada orang ramai agar terus patuh kepada arahan PKP.

Artikel Berkaitan:

"Cadangan pemasangan gegantung ini daripada kami tapi ia turut mendapat sokongan individu yang turut menyumbang bagi merealisasikannya," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, 12 kompaun telah dikeluarkan pihaknya semalam kerana kesalahan melanggar PKP.

Daripada jumlah itu, 4 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan antaranya menghalang penjawat awam melakukan tugasan dan tiga kertas siasatan dibuka.