'Jajaran pemaju gagal ambil kira hierarki jalan kampung' - Penduduk terus bantah projek jejas Tanah Rizab Melayu

Siajam menunjukkan kedudukan Kampung Sungai Pening serta jajaran alternatif bagi menghubungkan Lebuh Raya SILK ke Jalan Sungai Lalang tanpa menggunakan laluan penduduk. Foto:Sinar Harian/ Mohd halim Abdul Wahid
Siajam menunjukkan kedudukan Kampung Sungai Pening serta jajaran alternatif bagi menghubungkan Lebuh Raya SILK ke Jalan Sungai Lalang tanpa menggunakan laluan penduduk. Foto:Sinar Harian/ Mohd halim Abdul Wahid
A
A
A

SEMENYIH - Lebih tujuh tahun membantah, suara penduduk Kampung Sungai Pening di sini masih belum didengari apabila cadangan pembinaan jalan pintas yang menghubungkan Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK) ke Jalan Sungai Lalang terus mengancam Tanah Rizab Melayu (TRM).

Sebagai jalan penyelesaian, penduduk mengemukakan jajaran alternatif yang menggunakan rizab jalan sedia ada yang menjadi sempadan antara kampung berkenaan dengan sebuah projek pembangunan yang telah lama terbengkalai.

Penasihat Jawatankuasa Bertindak (JKB) Kampung Sungai Pening, Datuk Siajam Buyong berkata, hasil penilaian tanah yang dijalankan, jalan alternatif sepanjang 4.7 kilometer itu dapat mengurangkan kos kepada kerajaan.

"Apabila ia menerapkan konsep asas kejuruteraan terhadap penggunaan sumber sedia ada di tapak berkenaan, jajaran itu lebih selamat dan kurang impak negatif seperti banjir dan tebing runtuh kerana kedudukan lebih jauh dari sungai.

"Berbanding cadangan pemaju menggunakan jalan kampung, mereka terpaksa membuat dua lintasan sungai dan penurapan kawasan hijau yang luas akan meningkatkan kadar larian permukaan sungai sekali gus meletakkan kampung dalam risiko banjir kilat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Siajam menunjukkan lot-lot milik penduduk yang mungkin terkesan dengan projek pembinaan jalan pintas yang dilaksanakan pemaju. Foto:Sinar Harian/ Mohd halim Abdul Wahid
Siajam menunjukkan lot-lot milik penduduk yang mungkin terkesan dengan projek pembinaan jalan pintas yang dilaksanakan pemaju. Foto:Sinar Harian/ Mohd halim Abdul Wahid

Menurut pesara pegawai kanan kerajaan itu, jajaran alternatif itu yang terletak kira-kira 200 meter dari kawasan penempatan dapat menjamin keselamatan penduduk yang majoritinya terdiri dalam kalangan warga emas.

"Jajaran pemaju gagal mengambil kira hierarki jalan tempatan apabila mencadangkan sebahagian jalan kampung sedia ada dinaik taraf kepada empat lorong yang akan mengancam keselamatan akibat pertambahan kenderaan dan aliran trafik yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut pelan pemaju, Jalan Sungai Lalang dilihat terlalu hampir dengan simpang masuk ke jalan kampung dan ini juga merbahaya dari segi trafik," tambahnya.

Tambah Siajam, TRM ini diwartakan sejak tahun 1927 dan pengambilan tanah penduduk bagi tujuan pembangunan dilihat mencabar Enakmen Rizab Melayu serta bercanggah dengan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penduduk membantah sebarang usaha pengambilan tanah secara paksa berikutan tidak dimaklumkan mengenai penglibatan tanah mereka dalam jajaran jalan pintas berkenaan.

JKB telah menghantar bantahan rasmi kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!