Isu Kampung Sungai Cot: PM tidak pernah berdiam diri - Kamil Munim

Muhammad Kamil
Muhammad Kamil
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berdiam diri berhubung pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot, Negeri Pahang.

Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Politik Kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Muhammad Kamil berkata, Perdana Menteri akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dengan mengangkat isu ini kepada Kerajaan Negeri agar penyelesaian dapat dicapai segera secara adil, berhemah dan berlandaskan undang-undang.

Menurutnya, perkara tersebut akan dibawa ke perhatian Kerajaan Negeri Pahang memandangkan urusan pentadbiran dan pemilikan tanah berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

"Dalam keghairahan segelintir pihak meraih keuntungan politik, janganlah fakta serta prinsip Perlembagaan diputarbelitkan sehingga mengelirukan rakyat.

"Mengaburkan batas bidang kuasa bukan sahaja tidak membantu masyarakat Orang Asli, malah hanya akan melambatkan usaha mencari penyelesaian yang adil dan tuntas.

"Justeru, Kerajaan Negeri Pahang diseru agar tidak lagi berlengah dan segera melaksanakan tanggungjawab di bawah bidang kuasanya," katanya.

Sebelum ini, isu pertikaian tanah di Kampung Sungai Cot mendapat perhatian selepas tular video seorang wanita Orang Asli bersama anaknya memohon bantuan untuk bertemu Perdana Menteri berhubung penahanan suaminya yang dikaitkan pertikaian tanah di kawasan berkenaan.

Muhammad Kamil menegaskan bahawa Perdana Menteri telah mengambil maklum akan perkara yang dibangkitkan dan segera menghubungi wakil masyarakat Orang Asli bagi mendengar sendiri permasalahan yang mereka hadapi.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagaimanapun, Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Kerajaan Negeri dalam urusan tanah.

"Hak serta kebajikan masyarakat Orang Asli tidak boleh terus terkesan akibat kelewatan membuat keputusan.

"Mereka berhak memperoleh penyelesaian yang adil, bermaruah dan tanpa penangguhan," katanya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!