Penduduk Bukit Kuang bantah projek krematorium berdekatan surau, penempatan

Antara penduduk yang membantah pembinaan pusat krematorium atau pembakaran mayat di Bukit Kuang, Terengganu.
Antara penduduk yang membantah pembinaan pusat krematorium atau pembakaran mayat di Bukit Kuang, Terengganu.
A
A
A

KEMAMAN - Lebih 1,000 penduduk membantah pembinaan pusat krematorium atau pembakaran mayat di Bukit Kuang di sini yang didakwa dibina berhampiran kawasan surau dan penempatan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Taman Bukit Kuang, Mohd Rusli Ibrahim berkata, lokasi pembinaan projek itu terletak kira-kira 300 meter dari rumah penduduk dan hanya 350 meter dari sebuah surau di kawasan itu.

"Apabila beroperasi nanti, pelbagai ritual keagamaan akan dijalankan dan situasi ini pasti mengundang rasa tidak selesa serta mengganggu ketenteraman penduduk," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas mengetuai perhimpunan aman melibatkan kira-kira 80 penduduk bagi menzahirkan bantahan berhubung isu berkenaan di Bukit Kuang di sini pada Jumaat.

​Pada perhimpunan itu, satu memorandum bantahan yang mengumpul lebih 1,000 tanda tangan penduduk turut diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris.

Penduduk menyerahkan surat bantahan berhubung pembinaan pusat krematorium atau pembakaran mayat di Bukit Kuang, Kemaman.
Penduduk menyerahkan surat bantahan berhubung pembinaan pusat krematorium atau pembakaran mayat di Bukit Kuang, Kemaman.

Dalam perkembangan sama, katanya, projek terbabit dilihat bukan sahaja mencetuskan keresahan berhubung sensitiviti agama malah menimbulkan kegusaran mengenai implikasi pencemaran serta masa depan sektor pelancongan di kawasan tersebut.

​Menurutnya, mereka kesal kerana projek berkenaan didakwa mendapat 'lampu hijau' tanpa sebarang sesi dialog atau rundingan bersama komuniti setempat.

Artikel Berkaitan:

​​"Kita dapat tahu mengenai projek ini awal bulan lepas, sedangkan kawasan tersebut merangkumi tujuh taman perumahan yang dihuni hampir 95 peratus masyarakat beragama Islam.

​"Sepatutnya perbincangan diadakan terlebih dahulu dengan penduduk sebelum beri sebarang kelulusan kerana ia perkara menyentuh sensitiviti umat Islam di sini," ujarnya.

Mohd Rusli berkata, masyarakat juga tidak menolak kemungkinan berdepan ancaman alam sekitar termasuk isu pencemaran udara serta isu bau sekiranya proses pembakaran mayat mula beroperasi.

​"Kita bimbang sekiranya pengurusan sisa abu atau implikasi operasi tidak diselia mengikut standard yang ketat, ia akan mengundang risiko pencemaran," jelasnya.

​Pandangan sama disuarakan penduduk Taman Desa Permai, Mohd Afandi Embong, 56, yang mendakwa pemilihan lokasi projek berkenaan sebagai tidak masuk akal selain menuntut campur tangan pihak berkuasa.

​Katanya, pusat seperti itu sepatutnya dibina di kawasan yang jauh dari kediaman penduduk.

"Kenapa perlu diluluskan pembinaan di kawasan ini sedangkan di sini sangat hampir dengan kediaman orang Melayu.

​"Pembinaan tapak ini juga terletak berhampiran tarikan pelancongan utama iaitu Pantai Marina. Kita tidak mahu kehadiran pusat ini akan memberi imej negatif dan dipercayai akan menjejaskan sektor pelancongan negeri ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!