262 permohonan tanah Orang Asli dalam tindakan, 31 menunggu kelulusan - Exco

KUANTAN – Sebanyak 262 permohonan pewartaan tanah Orang Asli yang diterima di negeri ini sedang dalam pelbagai peringkat tindakan.
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 75 permohonan pewartaan sedang diproses, termasuk 31 permohonan yang telah lengkap untuk pertimbangan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Menurutnya, 44 permohonan yang melibatkan pertindihan tanah kini melalui proses penyelesaian, manakala 143 permohonan lagi berada pada peringkat awal pengukuran oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
"Ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa memelihara kebajikan, hak serta kepentingan masyarakat Orang Asli melalui kerjasama bersepadu antara JAKOA, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).
"Sebarang isu atau pertikaian yang timbul akan ditangani secara berhemah, berlandaskan undang-undang serta melalui pendekatan libat urus bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan semua pihak," katanya melalui kenyataan di sini.
Syed Ibrahim berkata, komitmen itu terbukti menerusi keputusan Mesyuarat MMK pada 2017 yang bersetuju mewartakan 76 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 7(1) dan 141 kampung Orang Asli di bawah Seksyen 6(1) Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).
Jelasnya, sehingga kini Pahang mempunyai 264 kampung Orang Asli dengan lebih 90,000 penduduk berdaftar.
Katanya, daripada jumlah tersebut, 30 kampung telah selesai diwartakan di bawah Seksyen 6 dan Seksyen 7 Akta Orang Asli 1954 serta Seksyen 62 Kanun Tanah Negara (KTN).
"Kerajaan negeri turut meluluskan pemberian hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli melibatkan 16 kampung di bawah Seksyen 76 KTN," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri bukan sahaja memberi perhatian terhadap aspek pemilikan tanah, malah terus memperkukuh pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli melalui ORACO.
"Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah pembangunan tanah bagi mewujudkan sumber pendapatan yang mampan kepada masyarakat Orang Asli.
"Dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini, ORACO juga telah membina 300 unit Rumah Rakyat Pahang Orang Asli secara percuma," katanya.
Selain itu, beliau berkata, pelajar Orang Asli yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) turut menerima bantuan komputer riba.
"Kerajaan negeri juga memperuntukkan RM2 juta bagi penyediaan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli di seluruh Pahang.
"Malah, kerajaan negeri turut melantik seorang Senator daripada kalangan masyarakat Orang Asli bagi mewakili kaum itu di Dewan Negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

