Dakwaan tanah adat Kampung Cot tidak dapat disahkan - Exco

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

KUANTAN – Pertikaian tanah melibatkan masyarakat Orang Asli di Kampung Cot, Maran, telah diberikan perhatian sejak awal menerusi pelbagai siri perbincangan dan libat urus.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, penempatan berkenaan merupakan kampung serpihan yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Menurutnya, berdasarkan rekod JAKOA, hanya 12 penama Orang Asli mengusahakan tanah di kawasan berkenaan, selaras dengan tuntutan bertulis yang dikemukakan sendiri kepada jabatan itu.

“Pada masa sama, tanah tersebut telah dipohon oleh sebuah syarikat dan permohonannya diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri menerusi keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 4 November 2015,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Syed Ibrahim berkata, bagi menangani pertindihan tuntutan antara penama dan syarikat berkenaan, JAKOA telah mengadakan beberapa siri perbincangan untuk mencari penyelesaian terbaik.

“Hasil perbincangan awal mendapati hanya enam daripada 12 penama masih meneruskan tuntutan melalui jabatan itu.

“Mereka mendakwa kawasan berkenaan merupakan tanah adat, namun dakwaan tersebut tidak dapat disahkan oleh pihak berkuasa berkaitan berdasarkan rekod serta fakta yang ada,” katanya.

Menurut beliau, enam penama yang masih mengemukakan tuntutan itu bukan berasal dari Kampung Cot, sebaliknya masing-masing berasal dari Kampung Orang Asli Paya Besar, Maran; Kampung Orang Asli Paya Bungor, Kuantan; dan Kampung Orang Asli Bukit Rok, Bera.

Jelasnya lagi, rekod juga menunjukkan kawasan seluas kira-kira 12 hektar telah diusahakan dengan tanaman getah dan kelapa sawit tanpa kebenaran yang sah.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kerajaan negeri tetap mengambil pendekatan yang adil dan bertanggungjawab dengan meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG), JAKOA serta Pejabat Daerah dan Tanah Maran meneliti kemungkinan bantuan yang bersesuaian daripada pihak syarikat kepada penama yang terlibat.

“Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kebajikan masyarakat Orang Asli tanpa mengenepikan keputusan yang telah dibuat oleh Pihak Berkuasa Negeri,” ujarnya.

Katanya, dakwaan berhubung isu pertikaian tanah itu yang digambarkan oleh sesetengah pihak tidak mencerminkan keseluruhan fakta dan latar belakang sebenar kes tersebut.

“Orang ramai diharap tidak membuat spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat.

“Sebaliknya, ruang sewajarnya perlu diberikan kepada agensi berkaitan untuk menyelesaikan isu ini secara profesional, berlandaskan undang-undang serta semangat muafakat demi memastikan hak semua pihak terus dihormati,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!