'Jurang melebar tapi belum retak'

PUTRAJAYA – Persefahaman antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dilihat melebarkan jurang persepsi politik antara BN dan PH (PH).
Bagaimanapun, Felo Penyelidik Ilham Centre, Mujibu Abd Muis berkata, situasi itu belum menggambarkan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan sedang menuju ke arah perpecahan.
Menurut beliau, apa yang berlaku lebih mencerminkan pertembungan antara strategi pilihan raya di peringkat negeri dengan keperluan mengekalkan kestabilan pentadbiran di Putrajaya.
"Pada saya, ya, dari sudut persepsi politik jurang itu kelihatan semakin melebar, tetapi tidak semestinya bermaksud hubungan dalam Kerajaan Perpaduan sedang menuju ke arah perpecahan.
"Apa yang berlaku lebih menggambarkan pertembungan antara logik pilihan raya dan logik pentadbiran," katanya ketika diminta mengulas polemik yang tercetus susulan pengumuman persefahaman BN dan PN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan sehingga mencetuskan gesaan beberapa pemimpin PH supaya kerjasama dengan BN dalam Kerajaan Perpaduan dikaji semula.

Ujar beliau, di peringkat Persekutuan, BN dan PH masih mempunyai kepentingan bersama untuk mengekalkan kestabilan kerajaan, namun di peringkat negeri kedua-dua gabungan itu mempunyai inisatif untuk memaksimumkan kemenangan masing-masing.
Menurutnya, persefahaman BN-PN menyebabkan PH mempersoalkan komitmen BN terhadap semangat Kerajaan Perpaduan, namun daripada perspektif BN, langkah itu boleh dihujahkan sebagai strategi pilihan raya yang tidak semestinya mengubah kedudukan mereka di Putrajaya.
"Justeru, saya melihat jurang yang wujud lebih kepada ketegangan politik, bukannya keretakan institusi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: PH tak punya hak untuk berasa tertipu dengan UMNO, BN - Fathi Aris
'Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan' - KJ
Cabar mencabar ujian baharu Kerajaan Perpaduan menjelang PRN Negeri Sembilan
Jangan hanya BN, semua parti lawan PH perlu keluar Kerajaan Perpaduan - Akmal Saleh
AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan susulan kerjasama dengan PN
Kerjasama BN-PN hanya untuk elak pertembungan
Mengulas jangkaan perkembangan isu itu, beliau berpandangan polemik berhubung persefahaman BN-PN dijangka hanya memuncak pada fasa awal kempen sebelum semakin reda apabila hari pengundian semakin hampir.
"Saya jangka isu ini memuncak pada awal kempen, tetapi akan semakin reda apabila kempen memasuki fasa akhir.
"Selepas PRN pula, saya jangka semua pihak akan kembali kepada pendekatan yang lebih pragmatik kerana kestabilan kerajaan Persekutuan masih menjadi kepentingan bersama. Oleh itu, retorik kempen tidak semestinya diterjemahkan kepada perubahan hubungan politik di Putrajaya," katanya.
Ditanya kemungkinan formula sama diulangi pada PRN Melaka, Mujibu berkata, perkembangan semasa tidak boleh dianggap sebagai amaran keras yang akan menutup terus ruang kerjasama antara BN dan PN pada masa depan.
Katanya, apa yang berlaku lebih kepada isyarat bahawa setiap bentuk kerjasama politik mempunyai kos yang perlu dipertimbangkan oleh semua pihak.
"Sama ada BN akan mengulangi formula ini di Melaka atau negeri lain bergantung kepada satu perkara utama iaitu keberkesanan strategi tersebut.
"Jika kerjasama taktikal dengan PN terbukti memberi keuntungan pilihan raya tanpa jejaskan hubungan di Putrajaya secara serius, tekanan untuk menggunakannya semula pasti akan wujud.
"Sebaliknya, jika ia mencetuskan ketegangan lebih besar daripada manfaat politik yang diperoleh, BN dijangka akan lebih berhati-hati," katanya.
Ujar beliau, isu berkenaan bukan lagi soal sama ada BN boleh atau tidak bekerjasama dengan PN, sebaliknya bagaimana parti itu mengimbangi dua kepentingan berbeza iaitu memenangi PRN dan pada masa sama mengekalkan kestabilan Kerajaan Perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

