Kerjasama BN-PN hanya untuk elak pertembungan

SHAH ALAM – Kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat parti BN.
Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, sebaliknya perkara yang dipersetujui hanyalah melibatkan pembahagian kerusi antara kedua-dua gabungan bagi mengelakkan pertembungan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurutnya, perbincangan itu adalah melibatkan BN bertanding di 25 kerusi, manakala PN, 11 kerusi.
"Setakat ini, soal kerjasama tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat BN. Apa yang dipersetujui hanyalah pembahagian kerusi.
"Kalau soalan itu mengenai gabungan secara rasmi antara PN dan BN, saya boleh jawab. Tetapi sehingga kini, perkara itu tidak dibincangkan secara terbuka.
"Dalam mesyuarat juga tidak timbul soal BN perlu bekerja untuk PN atau PN perlu bekerja untuk BN. Semua itu tidak dibincangkan," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, PN melengkapkan 'puzzle' BN apabila mengumumkan 11 calon tanpa melibatkan Parti Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia sekali gus melengkapkan jumlah keseluruhan 36 kerusi selepas 11 kerusi kosong susulan pengumuman 25 calon yang dibuat BN.
Vigneswaran menegaskan, beliau tidak mahu mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan kerana perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat hanyalah berkaitan pembahagian kerusi.
"Apa yang saya tahu, kerjasama itu hanyalah bagi memastikan tidak berlaku pertembungan kerusi. Itu sahaja.
"Kita tidak boleh membuat kenyataan yang tidak tepat kerana apa yang diputuskan hanyalah BN bertanding di 25 kerusi, manakala baki kerusi ditandingi oleh PN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

