'Ada sesuatu yang tak kena dalam Kerajaan Perpaduan' - KJ

Khairy mendakwa, PH sering menjadikan UMNO sebagai alasan apabila gagal melaksanakan agenda reformasi dan memenuhi manifesto.
Khairy mendakwa, PH sering menjadikan UMNO sebagai alasan apabila gagal melaksanakan agenda reformasi dan memenuhi manifesto.
A
A
A

SHAH ALAM - Hubungan antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan didakwa berdepan sesuatu yang tidak kena pada ketika ini.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, perkara itu dapat dilihat apabila Barisan Nasional (BN) memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, walaupun masih bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

"Kalau kita berada dalam Kerajaan Perpaduan tetapi pada peringkat PRN Negeri Sembilan kita buat keputusan untuk adakan kerjasama dengan pihak lain, itu adalah isyarat sesuatu yang tidak kena," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Subang di Bangunan UMNO Selangor di sini pada Ahad malam.

Khairy Jamaluddin memberitahu, dalam kalangan ahli UMNO sendiri wujud perasaan kerajaan ketika ini tidak memberi perhatian secukupnya terhadap sensitiviti orang Melayu, selain gagal menunaikan pelbagai janji yang dibuat.

Beliau mendakwa, PH sering menjadikan UMNO sebagai alasan apabila gagal melaksanakan agenda reformasi dan memenuhi manifesto.

"Mereka (PH) kata tak boleh tunaikan janji dan tak boleh buat reformasi sebab UMNO ada dalam kerajaan.

"(Seolah-olah) mereka menyalahkan UMNO atas kegagalan sendiri membawa reformasi dan menunaikan janji," katanya.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin menegaskan, BN tidak perlu keluar daripada Kerajaan Perpaduan atau mendesak supaya Pilihan Raya Umum diadakan lebih awal.

Artikel Berkaitan:

"Kita boleh tunggu sehingga Pilihan Raya Umum, cuma kita mengambil peluang ini untuk menghantar isyarat kepada PH jangan mengambil mudah UMNO dan BN," katanya.

Mengulas amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan yang menyerang rakan dalam Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) berundur daripada jawatan, Khairy berkata, perkara itu adalah hak Perdana Menteri.

Menurutnya, Anwar mempunyai kuasa untuk menggugurkan mana-mana menteri atau timbalan menteri yang tidak lagi menyokong kerajaan.

"Kalau Perdana Menteri sudah rasa menteri itu tidak menyokong beliau dan tidak menyokong kerajaannya, maka hak Perdana Menteri ialah memecat menteri berkenaan.

"Seseorang menteri memegang jawatan selagi mendapat kepercayaan Perdana Menteri dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong," jelas beliau.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin enggan mengulas sama ada terdapat menteri atau timbalan menteri daripada BN yang kini tidak lagi sehaluan dengan kepimpinan kerajaan.

"Saya tak tahu (kesediaan mereka melepaskan jawatan) sebab saya bukan menteri, kalau pandangan mereka, kena tanya mereka," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!