PRN Negeri Sembilan: Manifesto PH bukan sekadar janji pilihan raya

Kee Chin
Kee Chin
A
A
A

SEREMBAN - Manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri(PRN) Negeri Sembilan memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu penyediaan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi, pembinaan 20,000 rumah mampu milik dan pemerkasaan Skim Sejahtera Rakyat (SSR).

Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, manifesto itu bukan sekadar janji pilihan raya, sebaliknya kesinambungan kepada pencapaian kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu serta hala tuju menjayakan aspirasi Negeri Sembilan Maju 2045.

Menurut beliau, penyediaan 30,000 peluang pekerjaan bergaji tinggi bertujuan memastikan lebih ramai anak Negeri Sembilan memperoleh pekerjaan berkualiti tanpa perlu berhijrah ke negeri lain.

“Pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negeri ini mesti diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik untuk rakyat terutamanya dengan adanya kawasan-kawasan baru yang kami usahakan sepanjang lima tahun lepas.

"Keduanya 20,000 rumah mampu milik yang mana kami mahu lebih ramai keluarga muda memiliki rumah sendiri, di samping meneruskan Rumah Harapan serta mempercepatkan penyelesaian isu tanah dan hak milik,"katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama PH Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Tambahnya, kerajaan akan terus menyantuni rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan dan inisiatif yang lebih tersusun serta menyeluruh yang telah ditambah baik berbanding dilaksanakan hari ini.

Ujar Kee Chin, inilah mesej utama manifesto PH yang mana kemajuan Negeri Sembilan mesti dirasai oleh rakyat biasa, anak tempatan mendapat pekerjaan bergaji tinggi, keluarga muda mampu memiliki rumah, dan setiap rakyat menerima manfaat pembangunan tanpa mengira kaum atau latar belakang.

"Sepanjang lima tahun mentadbir Negeri Sembilan, PH telah membuktikan bahawa kerajaan yang stabil mampu membawa pelaburan, memperkukuhkan ekonomi negeri serta memperluaskan pelbagai inisiatif kebajikan kepada rakyat. Hasil negeri, untuk rakyat.

"Sebab itu kami menyeru rakyat Negeri Sembilan untuk terus memberikan mandat kepada PH agar agenda pembangunan ini dapat diteruskan demi masa depan negeri yang lebih maju, makmur dan inklusif,"katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!