Sabah teroka OTEC, miliki hingga 75 peratus potensi tenaga laut negara - Hajiji

KOTA KINABALU - Sabah sedang meneroka potensi penjanaan tenaga elektrik daripada lautan atau Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC), susulan negeri itu dikenal pasti memiliki sekitar 70 hingga 75 peratus potensi tenaga berkenaan di Malaysia.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri melalui Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) telah memulakan usaha meneroka teknologi berkenaan, termasuk mengadakan lawatan ke beberapa negara yang sudah memulakan penjanaan tenaga melalui lautan.
"Memang perancangan kerajaan untuk menstabilkan dan juga menambah kapasiti bekalan elektrik di Sabah ini begitu teratur dengan program-program yang telah disusun atur dalam program RAMP ataupun Tenaga Tahun 2040.
"Mengenai dengan OTEC, ini adalah satu tumpuan kerajaan untuk memastikan kita boleh mengambil ataupun menjana kuasa elektrik daripada lautan kita ini. Kerana mengikut kajian bahawa Sabah ini mempunyai potensi yang sangat besar di negara kita.
"Kita mempunyai lebih kurang 70 hingga 75 peratus tenaga laut ini atau OTEC ini berada di negeri Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Arthur Joseph Kurup (BN-Sukau) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.
Katanya, pegawai kerajaan negeri turut mengadakan lawatan ke beberapa negara, khususnya Jepun yang telah memulakan penjanaan tenaga melalui lautan, bagi melihat perkembangan teknologi berkenaan.
"Jadi apa yang kita buat sekarang ini ialah kerajaan melalui Sekretariat SMJ telah pun memulakan usaha. Pegawai-pegawai kita telah pun mengadakan lawatan ke beberapa negara terutama Jepun yang telah memulakan penjanaan melalui lautan ini atau OTEC ini.
"Jadi insya-ALLAH kalau semua teratur, kita akan boleh laksanakan program OTEC ini di perairan negeri Sabah," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerajaan negeri turut memberi keutamaan untuk memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan diperluaskan ke kampung-kampung, khususnya di kawasan pedalaman Sabah.
Katanya, usaha itu dilaksanakan bersama kerajaan Persekutuan menerusi pembinaan talian elektrik ke kampung-kampung pedalaman, selain kerajaan negeri turut melihat keperluan memastikan bekalan elektrik disampaikan kepada setiap kampung dan rumah rakyat di Sabah.
"Memang kita mempunyai perancangan yang agak menyeluruh kerana kita tahu keperluan tenaga elektrik di kampung-kampung ini bukan saja di kampung-kampung pedalaman tetapi juga dalam keperluan industri kita dan lain-lain adalah menjadi keutamaan kerajaan.
"Selain daripada kerajaan Persekutuan memperuntukkan pembinaan talian-talian elektrik ke kampung-kampung di pedalaman, tetapi kerajaan negeri juga melihat bahawa perlunya bekalan elektrik ini disampaikan kepada setiap kampung atau rumah rakyat kita di negeri Sabah," katanya.
Perkembangan itu selari dengan sasaran kerajaan negeri meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu Sabah daripada 307 Megawatt (MW) ketika ini kepada sekitar 1,200MW menjelang 2030, sekali gus meningkatkan sumbangannya daripada 16 kepada kira-kira 37 peratus campuran kapasiti penjanaan negeri.
Antara projek yang sedang dan akan dilaksanakan termasuk projek solar berskala besar berjumlah 450MW, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) berkapasiti 200MW, tenaga angin 100MW serta projek hidroelektrik Upper Padas dan Oriole Padas yang masing-masing berkapasiti 187MW dan 162MW.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
