Najib tegur saluran rasmi kerajaan jangan jadi medium 'troll'

Najib Razak
Najib Razak
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini menegur kerajaan Perikatan Nasional agar tidak melakukan beberapa perkara dengan mengaitkannya dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Antara perkara dikaitkan Najib yang juga bekas Presiden UMNO itu ialah menggunakan saluran rasmi kerajaan termasuk laman Facebook untuk tujuan 'troll' dan propaganda.

"Jangan jadi macam rejim 'gagalkrasi' PH. Jangan sering buat u-turn.

"Jangan gunakan saluran rasmi kerajaan termasuk laman Facebook untuk troll atau bermain propaganda," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Kenyataan itu tidak merujuk mana-mana pihak secara khusus namun ia dibuat sehari selepas akaun rasmi Kementerian Kesihatan (KKM) menyiarkan pujian Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dalam menangani krisis wabak koronavirus (Covid-19) dan secara tidak langsung membandingkannya dengan pentadbiran PH.

Hantaran itu bagaimanapun telah dipadam tidak lama kemudian selepas mengundang reaksi negatif antaranya disifatkan sebagai tidak profesional namun tangkap layarnya terus tular di laman sosial.

Ia merupakan olahan daripada kenyataan asal yang disiarkan di halaman Facebook 'Friends of Dr Adham Baba' semalam.

Hantaran asal itu turut dilihat mengkritik "Menteri Kesihatan zaman Pakatan Harapan".

Artikel Berkaitan:

Pegawai komunikasi KKM menerusi aplikasi WhatsApp memberitahu media bahawa hantaran itu disebabkan kesilapan teknikal ekoran 'kesilapan log masuk'.

Sementara itu, Najib dalam hantaran sama turut menegur kerajaan Perikatan Nasional agar jangan mengadakan majlis potong riben benda-benda remeh atau terlalu gian untuk mempromosikan diri, jangan kedekut dengan bantuan rakyat serta menghina rakyat atau penjawat awam.