Kampung Baru bukan lagi syurga makanan warisan

Penggunaan dron yang dilengkapi pembesar suara digunakan sebagai salah satu langkah penyampaian maklumat terkini kepada penghuni. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Penggunaan dron yang dilengkapi pembesar suara digunakan sebagai salah satu langkah penyampaian maklumat terkini kepada penghuni. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR – Menyedari hakikat negara diuji dengan penularan wabak Covid-19, peniaga kedai makan mengakui Kampung Baru tidak lagi menjadi syurga makanan warisan.

Peniaga kedai makan Chunburi Seafood yang hanya mahu dikenali Ani Salleh, 29, berkata, sebahagian besar premis perniagaan ditutup kerana akur dengan arahan kerajaan selain mengalami kerugian akibat kekurangan pelanggan.

Menurutnya, hanya sebahagian kecil peniaga membuka kedai namun perlu mengehadkan operasi bermula jam 8 pagi hingga 7 malam.

“Jika sebelum ini, Kampung Baru diterangi lampu sehingga jam 1 pagi namun kini keadaan mula sunyi menjelang senja.

“Saya juga terpaksa mengurangkan kuantiti juadah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu,” katanya.

Ani berkata, hampir 30 juadah pelbagai jenis lauk, kuih dan masakan Pantai Timur dijual, berbanding 60 jenis makanan sebelum arahan PKP dikeluarkan.

Peniaga itu memberitahu, majikannya juga terpaksa menutup sementara, tiga cawangan kedai makan di Nilai 3, Nilai Baharu dan Kota Damansara sepanjang tempoh ini.

Artikel Berkaitan:

Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan di sekitar Pangsapuri PKNS. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat rondaan di sekitar Pangsapuri PKNS. - Foto SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Sejak kedai itu dibuka 15 tahun lalu, Ani berkata, ini merupakan kali pertama, enam daripada 12 pekerja dibenarkan bekerja.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru mendapati, penghuni dibenarkan membeli keperluan harian namun perlu melalui pemeriksaan kesihatan di khemah pihak berkuasa.

Blok A dan B pangsapuri itu belum termasuk dalam zon Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun penghuni dari pangsapuri 17 tingkat itu dikehendaki merekodkan pergerakan keluar masuk untuk tujuan pemantauan.

Turut kelihatan, penggunaan dron yang dilengkapi pembesar suara sebagai salah satu langkah penyampaian maklumat terkini kepada penghuni.

Pada 26 Mac lalu, Kampung Dato Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang Johor merupakan kawasan pertama dikenakan PKPD.

Ia diikuti pada 30 Mac, Batu 21 hingga Batu 24 Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor diletakkan sebagai zon PKPD kedua, selepas 71 kes daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz AnNabawiyyah, positif jangkitan Covid-19.

Kerajaan kemudian mengenakan ‘perintah berkurung’ ketiga yang lebih tertumpu membabitkan Menara City One di Jalan Munshi Abdullah, Kuala Lumpur, pada 31 Mac lalu.

Sementara pada 7 April, PKPD keempat dikenakan terhadap dua unit bangunan kediaman di ibu negara iaitu Selangor Mansion dan Malayan Mansion yang mana 97 peratus daripada penduduknya merupakan warga asing.