Covid-19 mudah membunuh lelaki Malaysia

Tabiat merokok meningkatkan risiko lelaki dijangkiti dan maut akibat Covid-19.
Tabiat merokok meningkatkan risiko lelaki dijangkiti dan maut akibat Covid-19.
A
A
A

BUKAN rahsia lagi, sejak sekian lama dan hampir di seluruh dunia statistik mendapati secara purata lelaki lebih pendek umur daripada wanita. Selain itu, lelaki juga paling tinggi terdedah dengan pelbagai penyakit kronik seperti jantung dan kanser.

Koronavirus atau SARS-CoV-2 seolah-olah turut mengikuti corak yang sama. Statistik di kebanyakan negara di dunia mendapati jumlah lelaki mendapat wabak virus pembunuh itu adalah lebih tinggi berbanding kaum Hawa.

Malah, kadar kematian kaum Adam angkara Covid-19 rata-rata juga lebih sekali ganda tinggi berbanding wanita.

Dari China, ke Perancis, Itali, Denmark, Iran sehingga ke Jerman, coraknya serupa.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh The Wall Street Journal pada hujung Mac lalu, peratusan kematian pesakit lelaki Covid-19 di Itali dan Denmark mencecah 71 peratus berbanding pesakit wanita 29 peratus.

Laporan tersebut bagaimanapun tidak mendedahkan data di Amerika Syarikat (AS). Namun, berdasarkan laporan portal Vox Media, di New York sahaja setakat 9 April lalu berdasarkan angka kematian 6,200 orang, 60 peratus merupakan pesakit Covid-19 lelaki.

Jika berdasarkan peratusan tersebut dan statistik semasa di negara ini, peratusan kematian pesakit Covid-19 lelaki di Malaysia adalah yang paling tinggi di dunia berbanding dengan negara lain.

Berdasarkan statistik semalam dengan 77 kematian Covid-19 yang direkodkan di Malaysia, 59 kematian melibatkan pesakit lelaki manakala hanya 18 kematian melibatkan pesakit wanita.

Artikel Berkaitan:

Ini bermakna dari segi peratusan, jumlah kematian bagi pesakit lelaki di Malaysia ialah 76.6 peratus berbanding kaum wanita 23.4 peratus.

Persoalannya yang kini, mengapakah Covid-19 bukan lebih mudah merebak dalam kalangan kaum lelaki, bahkan menyebabkan kematian banyak ketua keluarga di dunia terutamanya di Malaysia.

No Image Caption

Berkongsi pendapat mengenai trend Covid-19 mengikut gender, Pakar Perunding Perubatan dan Paru-paru, Sunway Medical Centre Velocity di Kuala Lumpur, Dr Nurul Yaqeen Mohd Esa berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada corak statistik serupa di seluruh negara.

Dr Nurul Yaqeen menyenaraikan enam faktor utama tersebut iaitu tahap imunisasi, gaya hidup tidak sihat kaum lelaki, kelebihan hormon estrogen, disiplin membasuh tangan, kecepatan mendapatkan rawatan dan kelebihan kromosom X pada wanita.

“Secara puratanya, wanita mempunyai sistem imunisasi yang lebih cekap berbanding kaum lelaki. Hormon estrogen iaitu salah satu hormon utama pada wanita juga membantu memberikan perlindungan daripada jangkitan virus kepada wanita.

“Selain itu, wanita mempunyai lebih X kromosom berbanding lelaki. Kromosom X ini bertanggungjawab untuk menjana komponen penting dalam sistem imunisasi terhadap jangkitan virus,” terangnya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Risiko perokok

Selain itu, tambahnya, kesedaran dan disiplin terhadap kesihatan dalam kalangan wanita lebih tinggi apabila mereka lebih gemar membasuh tangan selain lebih segera mendapatkan rawatan sekiranya terdapat simptom penyakit tertentu.

“Lelaki lebih ramai terdedah kepada penyakit ini kerana kebanyakan mereka bekerja di luar rumah dan kerap berumpul beramai-ramai di luar rumah.

“Kajian sains sosial juga telah membuktikan lelaki biasanya mengambil mudah terhadap penyakit-penyakit yang dihidapi mereka. Lelaki sukar untuk berjumpa doktor bagi mendapatkan rawatan di peringkat awal gejala.

“Kebanyakan kaum lelaki sering berjumpa doktor setelah berada di peringkat pertengahan atau akhir penyakit iaitu ketika penyakit sudahpun menjadi serius atau sukar dikawal,” katanya.

Ketika mengupas mengenai gaya hidup tidak sihat lelaki, Dr Nurul Yaqeen menyebut dua perkataan iaitu merokok dan alkohol!

Lebih ramai lelaki mati angkara Covid-19 berbanding wanita.
Lebih ramai lelaki mati angkara Covid-19 berbanding wanita.

Malah ini mungkin masa yang terbaik untuk para perokok memikirkan semula tabiat merokok itu yang kini diakui pakar-pakar perubatan dunia meningkatkan risiko wabak Covid-19.

“Lebih ramai lelaki yang merokok dan minum alkohol (lima kali ganda berbanding wanita) menyebabkan sistem imunisasi mereka lebih rendah. Maka mereka lebih mudah mendapat jangkitan Covid-19 yang serius sehingga mengakibatkan kematian.

“Merokok juga boleh menyebabkan virus mudah berpindah daripada tangan ke mulut melalui rokok. Virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan penyakit Covid-19 juga cenderung menyerang paru-paru kerana terdapat reseptor angiotensin converting enzyme 2 (ACE-2) yang banyak terdapat di paru-paru dan saluran pernafasan.

“Perokok juga sering mendapat penyakit seperti kanser paru-paru dan penyakit saluran pernafasan obstruktif kronik yang menyebabkan kesan Covid-19 bertambah teruk sekiranya mereka terkena jangkitan penyakit ini,” katanya.

Data daripada jurnal Epidemiological and Clinical Features of the 2019 Novel Coronavirus Outbreak in China turut mengakui keparahan koronavirus dalam kalangan kaum lelaki di China.

Kajian menunjukkan paru-paru perokok mempunyai reseptor ACE-2 yang lebih banyak berbanding bukan perokok. Reseptor ACE-2 ini dianggap tapak bagi virus koronavirus kerana protein SARS-CoV memiliki ikatan yang kuat dengan ACE-2 untuk memasuki sel-sel paru-paru manusia.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar turut mengakui tabiat merokok yang meningkatkan reseptor ACE-2 dalam saluran pernafasan menarik virus Covid-19 untuk menjangkiti seseorang.

“Perokok yang kebanyakannya lelaki lebih mudah dijangkiti dan menemui maut angkara Covid-19 kerana perokok mempunyai paru-paru yang kurang sihat.

“Selain imuniti tubuh yang rendah kerana merokok, paru-paru perokok juga lebih tinggi reseptor ACE-2 yang menarik Covid-19.

“Namun, selain faktor itu individu yang tinggi risiko Covid-19 termasuklah individu yang menghidap penyakit kronik, penyakit jantung, obesiti dan pendedahan yang terlalu banyak di luar rumah,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan operasi kedai gunting rambut yang membawa risiko menularnya wabak Covid-19, kata Dr Zainal, kedai gunting rambut dikhuatiri boleh meningkatkan lagi jumlah lelaki yang dijangkiti dan maut kerana koronavirus.

Apatah lagi sudah terdapat beberapa kes kluster gunting rambut di luar negara yang maut kerana menggunting rambut pesakit Covid-19.