'Umar minta dipeluk, didukung' - Bapa dedah permintaan terakhir anak sebelum maut dilanggar bas

Bapa kongsi perubahan sikap Muhammad Umar Mohd Faaiz, 7, yang tiba-tiba menjadi lebih manja beberapa hari sebelum maut dilanggar bas
Bapa kongsi perubahan sikap Muhammad Umar Mohd Faaiz, 7, yang tiba-tiba menjadi lebih manja beberapa hari sebelum maut dilanggar bas
A
A
A

KLUANG - Perubahan sikap Muhammad Umar Mohd Faaiz, 7, yang tiba-tiba menjadi lebih manja dengan bapanya beberapa hari sebelum maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang, di sini, petang Rabu, kini menjadi kenangan paling menyentuh hati keluarganya.

Bapanya, Mohd Faaiz Muran, 35, berkata, perubahan sikap anaknya itu, seolah-olah memberi petanda terakhir sebelum pergi buat selama-lamanya.

"Pada Isnin lalu, arwah minta saya dukung dan peluk sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berkelakuan begitu.

Muhammad Umar (gambar kecil) maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang pada petang Rabu.
Muhammad Umar (gambar kecil) maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang pada petang Rabu.

"Dia juga minta macam-macam termasuk basikal. Dia janji nak belajar bersungguh-sungguh. Bila saya kenang kembali, saya terlalu sedih kerana mungkin itu petanda terakhir daripadanya," katanya.

Mohd Faaiz berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Umar di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang di sini pada Khamis.

Mohd Faaiz (dua dari kiri) sebak ketika pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, Kluang.
Mohd Faaiz (dua dari kiri) sebak ketika pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, Kluang.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dia sempat menunaikan sebahagian besar permintaan anaknya itu dan sepatutnya pulang ke Kluang esok untuk membawa Muhammad Umar serta adik perempuan kembarnya bersiar-siar.

"Saya sepatutnya balik esok. Saya sudah merancang mahu luangkan masa bersama mereka, tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Faaiz berkata, dia sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi walaupun sukar menerima kehilangan anak kesayangannya.

"Saya tak tahu macam mana kesakitan dialami bila melihat jenazahnya. Saya tak sanggup lihat keadaannya.

"Saya tidak menyalahkan pemandu bas kerana apa yang berlaku adalah takdir," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Umar selamat dikebumikan jam 2.15 petang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila ibu arwah, Nurul Shahira Salim, 35, beberapa kali ditenangkan ahli keluarga ketika mengiringi pengebumian anak sulungnya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!