Murid Tahun Satu maut dilanggar bas sekolah

Seorang murid lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, Kluang pada Rabu.
Seorang murid lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, Kluang pada Rabu.
A
A
A

KLUANG – Seorang murid lelaki berusia tujuh tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah dalam kejadian di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang di sini pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu, mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Siasatan awal mendapati sebuah bas sekolah jenis Hino yang dipandu wanita tempatan berusia 36 tahun telah menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya.

"Bagaimanapun, selepas menurunkan pelajar terbabit, bas sekolah itu membelok ke Jalan Bunga Raya 3 sebelum dipercayai melanggar mangsa yang berada di sebelah kiri jalan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas Bahrin, akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Polis Daerah Kluang menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, bertimbang rasa dan mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Pemandu bas sekolah khususnya perlu memastikan keselamatan pelajar yang menaiki kenderaan mereka berada pada tahap optimum sebelum meneruskan perjalanan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!