'Saya tak salahkan pemandu bas, sudah takdir' - Bapa murid Tahun Satu maut dilanggar bas

Mohd Faaiz Muran, 35, berkata, walaupun kehilangan anak sulungnya, Muhammad Umar Mohd Faaiz, amat sukar diterima, dia dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi.
Mohd Faaiz Muran, 35, berkata, walaupun kehilangan anak sulungnya, Muhammad Umar Mohd Faaiz, amat sukar diterima, dia dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi.
A
A
A

KLUANG – "Saya tidak menyalahkan pemandu bas kerana apa yang berlaku adalah takdir."

Demikian luahan bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang maut selepas dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang di sini pada petang Rabu.

Mohd Faaiz Muran, 35, berkata, walaupun kehilangan anak sulungnya, Muhammad Umar Mohd Faaiz, amat sukar diterima, dia dan keluarga reda dengan ketentuan Ilahi serta enggan meletakkan kesalahan kepada pemandu bas yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Saya tak tahu macam mana kesakitan yang saya alami apabila melihat jenazahnya. Saya tak sanggup melihat keadaannya.

Muhammad Umar (gambar kecil) maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang pada petang Rabu.
Muhammad Umar (gambar kecil) maut dilanggar bas sekolah di Taman Sri Lalang pada petang Rabu.

"Saya tidak menyalahkan pemandu bas kerana apa yang berlaku adalah takdir," katanya ketika ditemui selepas pengebumian Muhammad Umar di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang di sini pada Khamis.

Menurut Mohd Faaiz, beberapa hari sebelum kejadian, anaknya menunjukkan perubahan sikap yang kini menjadi kenangan paling menyentuh hati buat mereka sekeluarga.

Katanya, pada Isnin lalu, arwah tiba-tiba meminta didukung dan dipeluk, sedangkan sebelum ini tidak pernah berkelakuan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

"Dia juga minta macam-macam termasuk basikal. Dia janji nak belajar bersungguh-sungguh. Bila saya kenang kembali, saya terlalu sedih kerana mungkin itu petanda terakhir daripadanya," katanya.

Mohd Faaiz (dua dari kiri) sebak ketika pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, Kluang.
Mohd Faaiz (dua dari kiri) sebak ketika pengebumian anaknya di Tanah Perkuburan Islam Sri Lalang, Kluang.

Mohd Faaiz berkata, dia sempat menunaikan sebahagian besar permintaan anaknya dan sepatutnya pulang ke Kluang pada Jumaat untuk membawa Muhammad Umar serta adik perempuan kembarnya bersiar-siar.

"Saya sepatutnya balik esok. Saya sudah merancang mahu meluangkan masa bersama mereka, tetapi Allah lebih menyayanginya," katanya.

Terdahulu, jenazah Muhammad Umar selamat dikebumikan pada jam 2.15 petang selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan apabila ibu arwah, Nurul Shahira Salim, 35, beberapa kali ditenangkan ahli keluarga ketika mengiringi pengebumian anak sulungnya itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!