Trend kemasukan Rohingya berubah, Langkawi bukan lagi tumpuan

 Datuk Adzli Abu Shah
Datuk Adzli Abu Shah
A
A
A

ALOR SETAR – Polis mengesan perubahan trend kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya apabila mereka kini dipercayai menggunakan bot-bot kecil untuk mendarat di beberapa kawasan pesisir tanah besar negeri ini sejak dua bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kumpulan terbabit kini dipercayai mengubah laluan dengan menjadikan Kuala Kedah, Kuala Kerpan, Yan dan Kota Kuala Muda sebagai lokasi pendaratan baharu menggunakan bot bersaiz kecil selepas kawalan keselamatan di Langkawi dipertingkatkan.

Menurutnya, kebanyakan etnik Rohingya sebelum ini dikesan mendarat di Teluk Ewa dan Teluk Datai di Langkawi, namun hasil pemantauan mendapati tiada lagi pendaratan warga asing direkodkan.

"Mungkin mereka mempunyai saudara-mara di sini, sebab itu mereka mengubah perjalanan laut dengan menggunakan kumpulan kecil, kebanyakannya sekitar 10 orang sebelum mendarat di Kuala Kerpan, Kuala Kedah, Yan dan Kota Kuala Muda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini pada Selasa.

Adzli berkata, polis bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) memperketat kawalan di 17 lokasi sempadan negara menerusi rondaan dan penugasan statik selama 24 jam.

Katanya, tindakan berkenaan berjaya mengekang pendaratan pendatang asing tanpa izin (PATI) di lokasi yang sebelum ini dikenal pasti sebagai laluan utama.

Dalam pada itu, beliau menggesa nelayan supaya tidak bersekongkol dengan sindiket penyeludupan manusia yang membawa masuk warga asing ke negara ini.

"Saya menyeru masyarakat khususnya nelayan supaya tidak membantu membawa masuk warga asing.

Artikel Berkaitan:

"Hasil risikan dan tangkapan yang kita lakukan membuktikan ada nelayan yang sanggup mengambil upah untuk membantu membawa masuk mereka ke negara ini," ujarnya.

Menurut Adzli, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terbabit dalam kegiatan penyeludupan PATI tanpa mengira latar belakang.

Beliau mendedahkan, pihaknya sebelum ini menahan seorang bekas anggota polis berusia lingkungan 30-an yang dipercayai membawa masuk seramai 72 PATI menggunakan sebuah lori sebelum dipintas di Plaza Tol Hutan Kampung, kira-kira dua bulan lalu.

Katanya, suspek terbabit pernah dibuang kerja atas kesalahan berkaitan dadah.

“Polis turut menahan tiga anggota tentera dalam kejadian berasingan selepas dipercayai membawa PATI menggunakan dua buah kenderaan di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini.

"Modus operandi mereka ialah mendaratkan PATI di kawasan Kuala Kedah dan beberapa lokasi lain dengan bantuan nelayan sebelum dibawa keluar menggunakan kenderaan darat,” katanya lagi.

Tambahnya, bagi laluan darat pula, sindiket masih menggunakan jalan tikus di kawasan Durian Burung, namun mendapati pergerakan di Bukit Kayu Hitam hingga ke Perlis semakin berkurangan dan pola kemasukan kini lebih banyak menggunakan laluan laut dengan kumpulan yang lebih kecil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!