PRN Negeri Sembilan: Aminuddin tinggalkan Sikamat, bakal bertanding di Linggi

KUALA PILAH - Seperti diramal Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meninggalkan kerusi tradisinya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dengan bertanding di Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 1 Ogos ini.
Perkara berkenaan diumumkan Pengerusi PH dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan (PH) di Dataran Melang, di sini pada Selasa.
Sememangnya desas desus Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu berpindah kerusi telah lama didengar sejak pembubaran DUN lagi.
Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana beliau merupakan Ahli Parlimen Port Dickson serta Ketua Cabang PKR Port Dickson.
Untuk rekod, Aminuddin telah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Sikamat selama hampir dua dekad sejak memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.
Pada PRU12, beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 499 undi apabila memperoleh 6,036 undi dan pada PRU13, beliau sekali lagi mempertahankan kerusi berkenaan dengan majoriti 510 undi selepas memperoleh 8,584 undi.
Prestasi beliau terus meningkat pada PRU14 apabila mencatat kemenangan lebih selesa dengan majoriti 3,413 undi dalam saingan tiga penjuru menentang calon BN dan Pas selepas memperoleh 9,832 undi.
Pada PRN 2023 pula, Aminuddin berjaya mempertahankan DUN Sikamat dengan majoriti 2,662 undi selepas meraih 12,730 undi, mengatasi calon Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas.
Sementara itu, Setiausaha Politik Aminuddin iaitu Nor Azman Mohamad diumum menggantikan tempatnya di DUN Sikamat.
Pada pilihan raya lalu, beliau yang juga Ketua Penerangan PKR bertanding di kerusi Parlimen Kuala Pilah, namun tewas dengan calon Barisan Nasional(BN), Datuk Adnan Abu Hassan yang meraih majoriti 6,483 undi.
SENARAI LENGKAP NAMA CALON PH PRN NEGERI SEMBILAN MENGIKUT PARLIMEN
JELEBU
N01 Chennah - Anthony Loke Siew Fook(Penyandang)
N02 Pertang - Mohd Umry Abdul Khois
N03 Sungai Lui - Zainal Fikri Abd Kadir
N04 Klawang - Datuk Bakri Sawir
JEMPOL
N05 Serting - Yaacob Mahmood
N06 Palong - Muhammad Zahin Zinal Abidin
N07 Jeram Padang - G Manivannan
N08 Bahau - Teo Kok Seong(Penyandang)
SEREMBAN
N09 Lenggeng - Zarinna Abu Zarin
N10 Nilai- J Arul Kumar(Penyandang)
N11 Lobak - Chew Seh Yong(Penyandang)
N12 Temiang - Ho Weng Wah
N13 Sikamat - Nor Azman Mohamad
N14 Ampangan - Datuk Muhammad Nazri Kassim
KUALA PILAH
N15 Juasseh - Mohd Aidil Abdullah
N16 Sri Menanti - Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa
N17 Senaling - Mohd Hanis Mohd Alimin
N18 Pilah -Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim
N19 Johol - Mohd Zailan Mohd Munawar
RASAH
N20 Labu - Datuk Ahmad Faez Abdul Razak
N21 Bukit Kepayang - Nicole Tan Lee Koon(Penyandang)
N22 Rahang - Siau Meow Kong(Penyandang)
N23 Mambau - Lee Kai Yet
N24 Seremban Jaya - S Mugunthan
REMBAU
N25 Paroi - Ahmad Shahir Mohd Shah
N26 Chembong - Danish Nazran Murad
N27 Rantau - Dr Azizul Hakim Mahdi
N28 Kota - Muhammad Allif Ibrahim
PORT DICKSON
N29 Chuah -Datuk Yew Boon Lye(Penyandang)
N30 Lukut - Choo Ken Hwa(Penyandang)
N31 Bagan Pinang - Nasir Rahman
N32 Linggi - Datuk Seri Aminuddin Harun
N33 Sri Tanjung -Datuk Dr G Rajasekaran(Penyandang)
TAMPIN
N34 Gemas - Siti Aishah Seman@Othman
N35 Gemencheh - Abd Latif A Tambi
N36 Repah - S Veerapan(Penyandang)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

