PRN Negeri Sembilan: Rundingan Pas-UMNO tetap berjalan, sasar ambil alih kerajaan - Annuar

KOTA BHARU - Rundingan antara Pas dan UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan masih berlangsung meskipun wujud kenyataan bercanggah daripada pemimpin kedua-dua parti berhubung perkara itu.
Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa yang mendedahkan perbincangan antara kedua-dua parti sentiasa berjalan melibatkan PRN Negeri Sembilan.
Menurut beliau, segala persoalan mengenai bentuk kerjasama dan agihan kerusi akan lebih jelas selepas Barisan Nasional (BN) mengumumkan barisan calonnya pada Rabu, diikuti Perikatan Nasional (PN) sehari kemudian.
"Rundingan dan perbincangan antara Pas dengan UMNO sentiasa berjalan termasuk yang di Johor dan Negeri Sembilan. Malam esok BN akan umumkan senarai calon, lusa PN.
"Daripada situ, semua akan faham kenapa bentuk penamaan calon berlaku sedemikian," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.
Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Memperkenalkan Pemain Kelantan City FC di Dewan Rimba Bukit Marak di sini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan rundingan dengan BN sedang berlangsung, namun dinafikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan Jawatankuasa Pusat Pas akan bermesyuarat pada malam Selasa bagi memuktamadkan serta mengesahkan kerusi yang akan ditandingi parti itu sebelum diumumkan secara rasmi.
Katanya, mesyuarat yang dipengerusikan Presiden Pas itu akan dihadiri semua 53 ahli Jawatankuasa Pas Pusat.
Terdahulu, Pengakuan Pas bahawa rundingan dengan BN sedang berlangsung bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan membuka satu lagi babak baharu dalam dinamika politik negara.
Kenyataan Abdul Hadi bahawa perbincangan itu menunjukkan perkembangan positif memberi gambaran bahawa parti berkenaan sedang meneroka ruang kerjasama bagi memperkukuh kedudukan menjelang medan persaingan politik yang semakin mencabar.
Namun, reaksi Ahmad Zahid memperlihatkan wujudnya jurang tafsiran antara kedua-dua parti.
Peringatan beliau supaya tidak terlalu 'positif' terhadap Pas menggambarkan sikap berhati-hati UMNO terhadap sebarang kemungkinan kerjasama politik.
Malah, penegasan bahawa tiada perbincangan rasmi mengenai hala tuju strategi politik menjelang PRN Negeri Sembilan menunjukkan UMNO masih belum bersedia mengiktiraf rundingan tersebut sebagai satu bentuk persefahaman politik yang konkrit.
Dalam politik, kenyataan yang berbeza daripada dua pemimpin utama ini bukan sesuatu yang luar biasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

