Pas-BN di Negeri Sembilan: Antara strategi atau sekadar percaturan politik

PENGAKUAN Pas bahawa rundingan dengan Barisan Nasional (BN) sedang berlangsung bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan membuka satu lagi babak baharu dalam dinamika politik negara.
Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa perbincangan itu menunjukkan perkembangan positif memberi gambaran bahawa parti berkenaan sedang meneroka ruang kerjasama bagi memperkukuh kedudukan menjelang medan persaingan politik yang semakin mencabar.
Namun, reaksi Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memperlihatkan wujudnya jurang tafsiran antara kedua-dua parti.
Peringatan beliau supaya tidak terlalu 'positif' terhadap Pas menggambarkan sikap berhati-hati UMNO terhadap sebarang kemungkinan kerjasama politik.
Malah, penegasan bahawa tiada perbincangan rasmi mengenai hala tuju strategi politik menjelang PRN Negeri Sembilan menunjukkan UMNO masih belum bersedia mengiktiraf rundingan tersebut sebagai satu bentuk persefahaman politik yang konkrit.
Dalam politik, kenyataan yang berbeza daripada dua pemimpin utama ini bukan sesuatu yang luar biasa.
Pas mungkin melihat rundingan sebagai peluang untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru yang boleh memecahkan undi Melayu, khususnya di kawasan yang menjadi tumpuan.
Sebaliknya, UMNO perlu mengambil kira sentimen akar umbi serta sejarah persaingan antara kedua-dua parti yang pernah berada dalam blok politik berbeza.
Perkembangan ini juga memperlihatkan bagaimana kedua-dua parti sedang menguji sentimen pengundi sebelum membuat keputusan muktamad.
Rundingan Pas-BN di Negeri Sembilan masih berada pada tahap awal dan belum boleh dianggap sebagai pakatan rasmi.
Namun, ia memberi isyarat bahawa landskap politik negara semakin dipengaruhi oleh pendekatan pragmatik, apabila parti-parti politik sanggup menilai semula hubungan lama demi mencapai kemenangan pilihan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
