Pengunjung MATTA Fair Perak nikmati kemudahan kad debit 34 mata wang

Wendy (tiga dari kiri) bersama barisan rakan strategik penganjuran MATTA Fair Perak edisi ke-37 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos depan.
Wendy (tiga dari kiri) bersama barisan rakan strategik penganjuran MATTA Fair Perak edisi ke-37 yang dijadualkan berlangsung pada 1 dan 2 Ogos depan.
A
A
A

IPOH - Pengunjung Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) Perak yang berlangsung pada 1 dan 2 Ogos depan berpeluang menikmati kemudahan Kad Debit Pelbagai Mata Wang RHB Bank yang menyokong sehingga 34 mata wang asing.

Melalui kemudahan itu, pelanggan boleh membuat pembayaran tanpa tunai yang lancar dan selamat sama ada untuk tujuan percutian, perniagaan atau ibadah di pelbagai negara termasuk Emiriah Arab Bersatu, Australia, Korea, Singapura dan Switzerland tanpa perlu membawa wang tunai dalam jumlah besar.

Pengerusi MATTA Fair Perak, Wendy Shin berkata, kerjasama dengan RHB Bank memberi fleksibiliti kewangan kepada pengunjung dalam merealisasikan impian percutian mereka dengan lebih yakin.

Menurutnya, kerjasama berterusan itu mencerminkan komitmen RHB Bank dalam mempertingkatkan pengalaman perjalanan rakyat Malaysia melalui penyelesaian kewangan yang lebih inovatif dan mudah diakses.

"RHB Bank bersama kita sebagai rakan bank rasmi bagi MATTA Fair Perak sejak 2024.

"Pengunjung pameran turut berpeluang menikmati pelbagai promosi eksklusif termasuk pembukaan akaun serta tawaran perjalanan dengan penjimatan hingga RM1,500," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah RHB Bank Wilayah Perak, Tham Kok Weng.

MATTA Fair Perak edisi ke-37 itu diadakan di Pusat Konvensyen Ipoh dengan kemasukan percuma kepada orang ramai dari jam 10 pagi hingga 9 malam.

Wendy berkata, penganjuran kali ini mencatatkan pencapaian baharu apabila kesemua 160 gerai habis ditempah dengan penyertaan lebih 50 pengendali pelancongan berlesen, agensi pelancongan dan pemain industri.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sambutan menggalakkan saban tahun membuktikan keyakinan orang ramai terhadap MATTA Fair sebagai platform utama mendapatkan tawaran pelancongan terbaik.

"Pertandingan kegemaran ramai, MATTA Fair Buyers’ Contest kembali memeriahkan acara dengan pelbagai hadiah menarik menanti.

"Pengunjung yang berbelanja minimum RM100 sepanjang pameran turut berpeluang memenangi hadiah menarik seperti tiket penerbangan pergi balik kelas perniagaan dan ekonomi, baucar perjalanan, pakej penginapan hotel serta hadiah lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!