AS sasar keupayaan ketenteraan Iran berkaitan Selat Hormuz - Trump

Tentera AS sedang memusnahkan keupayaan ketenteraan Iran yang berkaitan dengan Selat Hormuz serta mengenakan semula sekatan terhadap negara berkenaan. Foto: Ilustrasi AI- Agensi
Tentera AS sedang memusnahkan keupayaan ketenteraan Iran yang berkaitan dengan Selat Hormuz serta mengenakan semula sekatan terhadap negara berkenaan. Foto: Ilustrasi AI- Agensi
A
A
A

 

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Isnin berkata, tentera negara itu sedang memusnahkan keupayaan ketenteraan Iran yang berkaitan dengan Selat Hormuz serta mengenakan semula sekatan terhadap negara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perjanjian diplomatik dengan Teheran masih boleh dicapai meskipun konflik yang semakin meningkat, lapor Anadolu Ajansi.

"Kami menyerang mereka malam ini dan sedang memusnahkan segala keupayaan mereka yang mempunyai kaitan dengan Selat Hormuz,” kata Trump kepada pemberita di Rumah Putih.

Beliau turut menuduh Iran menarik diri daripada perjanjian yang berpotensi selepas rundingan dilihat mencapai kemajuan.

"Mereka membuat perjanjian. Mereka melanggarnya, mungkin 10 kali, dan mereka membunuh ramai orang... Mereka telah berunding selama 47 tahun, tetapi tiada siapa pernah menyerang mereka secara ketenteraan. Kami menyerang mereka dengan sangat hebat,” katanya.

Ditanya sama ada beliau percaya perjanjian dengan Iran masih boleh dicapai, Trump menjawab: "Ya, saya fikir perjanjian masih boleh dicapai.”

Kenyataan itu dibuat ketika AS melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran untuk malam ketiga berturut-turut, dengan Rumah Putih berkata, operasi berkenaan bertujuan melemahkan keupayaan Teheran mengancam perkapalan komersial dan keselamatan serantau di Selat Hormuz.

Trump berkata, AS sedang "melumpuhkan keseluruhan” keupayaan serangan Iran dan mendakwa AS kini mengawal selat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengenakan semula sekatan dan sekatan itu tidak ditujukan kepada sesiapa kecuali Iran. Dengan kata lain, mana-mana pihak yang menjalankan urusan perniagaan dengan Iran tidak boleh melaluinya. Semua pihak lain dibenarkan melaluinya.

"Jadi, ia merupakan sekatan yang sangat ketat. Sekatan itu mungkin lebih berkesan berbanding serangan terhadap mereka, tetapi saya fikir gabungan kedua-dua langkah itulah yang benar-benar berkesan,” katanya.

Sementara itu, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi pada Isnin berkata, Teheran akan terus menjadi "penjaga” Selat Hormuz selepas Trump mengancam untuk mengenakan bayaran terhadap kapal yang melalui laluan perairan strategik itu.

Trump turut berkata, AS mahu "dibayar balik” kerana melindungi negara-negara yang dibantu di selat berkenaan.

"Saya mahu kami dibayar balik kerana kami melindungi sebuah rantau dunia yang sangat kaya. Kami membelanjakan wang, jadi apa yang kami lakukan ialah mendapatkan bayaran balik bagi perlindungan itu,” katanya, merujuk kepada negara Teluk termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Qatar, Kuwait dan Bahrain.

Mengenai laporan berhubung dron Iran di Cuba, Trump berkata: "Jika mereka benar-benar mempunyai dron di sana dan kemungkinan besar memang ada, kami akan menanganinya.”

"Jika mereka memilikinya, kami akan menanganinya dalam tempoh singkat.

"Kami tidak akan menghadapi masalah dan tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.

"Jadi, mungkin mereka menyimpan beberapa dron di sana. Kami sedang menyiasat perkara itu. Ia mungkin benar dan mungkin juga tidak, tetapi kami akan mengetahuinya dengan segera,” kata Trump. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!