Rakyat Malaysia di Qatar dinasihatkan patuhi arahan keselamatan susulan serangan baharu AS-Iran

Notis yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Doha.
Notis yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Kedutaan Besar Malaysia di Doha.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia yang berada di Qatar dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa susulan serangan baharu Amerika Syarikat (AS) dan Iran.

Dalam satu notis yang dimuat naik di laman Facebook rasminya, Kedutaan Besar Malaysia di Doha menasihatkan rakyat Malaysia terus peka terhadap perkembangan sekeliling.

"Sila patuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Qatar dari semasa ke semasa dan pastikan anda hanya mendapatkan maklumat daripada sumber-sumber yang sahih,” menurut notis itu.

Pihak kedutaan juga menasihatkan mereka yang akan melakukan perjalanan dari atau melalui Qatar untuk menyemak jadual penerbangan terkini bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam di +974-3374 6733 atau melalui e-mel di mwdoha@kln.gov.my.

Pada Ahad, tentera AS melancarkan serangan pusingan ketiga terhadap Iran minggu ini selepas tentera Iran melepaskan tembakan ke arah kapal yang transit di Selat Hormuz dan mengumumkan penutupan laluan air itu, lapor Anadolu Ajansi.

Media turut melaporkan bahawa Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran pada Ahad mengumumkan Selat Hormuz akan ditutup sehingga diberitahu kelak.

Ia menegaskan laluan air strategik itu akan kekal ditutup sehingga campur tangan AS di rantau itu berakhir, sambil menambah tiada kapal akan dibenarkan melalui selat berkenaan.

Pada Jun, Teheran dan Washington menandatangani memorandum persefahaman yang diperantarakan Pakistan bertujuan menamatkan perang yang bermula pada akhir Februari serta membuka jalan kepada perjanjian damai yang berkekalan.

Artikel Berkaitan:

Memorandum itu menyeru penamatan segera pertempuran di semua lapangan, penghapusan sekatan tentera laut AS ke atas Iran dan pembukaan semula Selat Hormuz.

Meskipun memorandum itu dimeterai, kedua-dua pihak berbalas serangan minggu ini berhubung laluan trafik komersial yang melalui Selat Hormuz. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!