Iran lancar serangan besar-besaran sasar pangkalan musuh di rantau Asia Barat

Siren amaran serangan udara dibunyikan di Bahrain susulan serangan pengeboman Iran ke atas sebuah pangkalan udara di Jordan, sekali gus mencetuskan peningkatan ketegangan besar dalam konflik di Asia Barat. Gambar fail. Foto: Reuters.
Siren amaran serangan udara dibunyikan di Bahrain susulan serangan pengeboman Iran ke atas sebuah pangkalan udara di Jordan, sekali gus mencetuskan peningkatan ketegangan besar dalam konflik di Asia Barat. Gambar fail. Foto: Reuters.
A
A
A

TEHERAN – Iran melancarkan operasi besar-besaran menggunakan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan apa yang didakwa sebagai 'pangkalan musuh' di beberapa lokasi di rantau Asia Barat, menurut kenyataan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).

IRGC mendakwa serangan itu menyasarkan kemudahan ketenteraan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat di Bahrain, Kuwait dan Jordan, termasuk Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, dua pangkalan udara di Kuwait serta Pangkalan Udara Prince Hassan di Jordan.

Pasukan itu mendakwa serangan di Pangkalan Udara Prince Hassan menyebabkan beberapa tangki bahan api dan depoh peluru terbakar.

IRGC menyifatkan operasi tersebut sebagai fasa pertama tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat ke atas pangkalan pantai Iran, sambil memberi amaran bahawa operasi balas itu masih diteruskan.

Menurut kenyataan IRGC, pasukan aeroangkasa mereka turut menyasarkan Pangkalan Udara Sheikh Isa di Bahrain, termasuk kemudahan penyelenggaraan helikopter, sebuah hangar yang menempatkan pesawat P-8 serta pusat kawalan dan arahan dron Amerika.

Media kerajaan Iran turut melaporkan dua pangkalan udara di Kuwait menjadi sasaran, namun dakwaan itu belum disahkan secara bebas.

IRGC berkata, operasi berkenaan dilakukan selepas pihaknya memantau pergerakan 'musuh' sepanjang 48 jam lalu.

Dalam kenyataan berasingan, IRGC turut mendakwa operasi tenteranya di Selat Hormuz menyasarkan dua kapal yang didakwa mematikan sistem penjejakan, melanggar peraturan pelayaran serta mengancam keselamatan maritim.

Perkembangan itu berlaku selepas Iran memberi amaran bahawa mana-mana lokasi yang digunakan untuk melancarkan serangan terhadap negaranya akan dianggap sebagai 'sasaran sah' untuk tindakan balas.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Luar Iran turut memberi amaran kepada negara jiran supaya tidak membenarkan wilayah atau kemudahan mereka digunakan oleh Amerika Syarikat atau pihak lain bagi melancarkan serangan terhadap Teheran.

Menurut kementerian itu, negara jiran mempunyai tanggungjawab di bawah undang-undang antarabangsa untuk menghalang wilayah mereka daripada digunakan bagi tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Amaran tersebut dibuat beberapa jam selepas tentera Amerika Syarikat mengumumkan gelombang serangan baharu terhadap Iran, yang menurut Washington bertujuan melemahkan keupayaan Teheran mengancam kapal perdagangan di Selat Hormuz.

Iran mengecam serangan itu sebagai pelanggaran serius terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), selain mendakwa Amerika Syarikat menyasarkan infrastruktur pengangkutan, bot nelayan, kapal kargo dan kemudahan meteorologi.

Teheran turut menuduh Washington mengganggu pengurusan keselamatan di Selat Hormuz, yang merupakan laluan perdagangan minyak utama dunia, sekali gus menjejaskan aktiviti perkapalan antarabangsa. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!