Trump umum 'sekatan Iran', cadang kenakan caj 20 peratus ke atas kargo di Selat Hormuz

HAMILTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Isnin mengumumkan Washington akan menguatkuasakan semula apa yang disifatkannya sebagai 'sekatan ke atas Iran' selain mencadangkan caj sebanyak 20 peratus dikenakan ke atas semua kargo yang melalui Selat Hormuz sebagai balasan kepada perlindungan keselamatan yang diberikan AS di laluan perairan strategik itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Selat Hormuz DIBUKA dan akan terus DIBUKA, sama ada dengan atau tanpa Iran," kata Trump di platform Truth Social.
"Kami menguatkuasakan semula SEKATAN KE ATAS IRAN, yang dinamakan sedemikian kerana ia hanya menghalang kapal Iran atau pelanggan Iran daripada memasuki atau meninggalkan kawasan itu. Semua negara lain akan terus menikmati penggunaan Selat Hormuz secara bebas dan terbuka."
Trump berkata, AS akan menyediakan perlindungan keselamatan di laluan perairan itu dan mendapatkan bayaran balik daripada pengendali kargo.
"Mulai saat ini, AS akan dikenali sebagai 'PENJAGA SELAT HORMUZ.' Namun, demi keadilan, AS akan dibayar balik pada kadar 20 peratus ke atas semua kargo yang dihantar bagi menampung semua kos yang diperlukan untuk menyediakan keselamatan di kawasan dunia yang amat tidak menentu ini."
Beliau berkata, pelaksanaan langkah itu akan bermula serta-merta. - Bernama/Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
