WUIF sumbang 1,200 al-Quran kepada JKN Terengganu

Najib (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada Dr Hasnan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
Najib (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan al-Quran kepada Dr Hasnan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengagihkan 1,200 naskhah al-Quran kepada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) hari ini hasil sumbangan pelbagai pihak sempena Program Wakaf al-Quran Mu'jam.

Sumbangan itu disampaikan Timbalan Pengerusi Rumah Ngaji Terengganu, Najib Ibrahim kepada wakil JKNT, Dr Hasnan Arwit@Hassan yang juga Ketua Penolong Pengarah Kanan (Perkembangan Kesihatan Awam) Terengganu.

Program Wakaf al-Quran Mu'jam itu merupakan hasil kerjasama WUIF dengan rakan sinergi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), TV Al Hijrah, Majlis Dakwah Negara, Sinar Harian, Ideaktiv dan Rumah Ngaji, seterusnya akan dihantar ke hospital, klinik atau pusat kesihatan dan pusat kuarantin, hasil sumbangan orang ramai.

Kakitangan JKNT memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran.
Kakitangan JKNT memanfaatkan masa dengan membaca al-Quran.

Menurut Najib, dalam situasi negara kini, pemulihan dan pengurusan individu dalam menghadapi penyakit, sama ada yang dirawat atau yang merawat harus turut mengambil kira aspek spiritual rakyat Malaysia dan emosi.

"Sebab itu kita mengambil inisiatif ini untuk mereka memanfaatkan dan mengisi masa dengan al-Quran.

"Sejumlah 1,200 naskhah al-Quran terjemahan mu'jam ini kita akan agihkan kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sebanyak 300 buah, Hospital Kemaman (160), Hospital Hulu Terengganu (160) dan 580 buah lagi diagihkan untuk Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, hospital, klinik kesihatan daerah dan pusat kuarantin.

"Hospital dan klinik kesihatan juga dicadangkan untuk menyediakan #QuranTime Corner iaitu sudut al-Quran agar mudah diakses dan dirujuk oleh warga hospital dan klinik kesihatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Najib (kiri) berkongsi pandangan dengan Dr Hasnan tentang program itu.
Najib (kiri) berkongsi pandangan dengan Dr Hasnan tentang program itu.

Sementara itu, Dr Hasnan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini dan berkata, ia akan diagihkan kepada semua hospital dan klinik kesihatan untuk manfaat bersama.

WUIF turut menggerakkan usaha Malaysia #QuranTime yang kini bersiaran setiap hari di TV Hijrah mulai jam 12 hingga 1 tengah hari bagi mengisi spiritual rakyat Malaysia yang kini menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ribuan naskhah al-Quran yang akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan.
Ribuan naskhah al-Quran yang akan diagihkan ke hospital dan klinik kesihatan.