Tak sempat gunting rambut pelanggan kena cekup imigresen

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seorang tukang gunting warga asing tidak sempat memotong rambut pelanggannya apabila ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak dalam satu Operasi Bersepadu yang dijalankan di Bandar Baru Sri Klebang pada Isnin.
Lelaki warganegara Bangladesh itu merupakan antara 22 orang warga asing yang ditahan susulan operasi di 12 premis sekitar Ipoh pada Isnin.
Pengarah Imigresen Perak, Datuk James Lee berkata, operasi yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu melibatkan pemeriksaan terhadap 38 warga asing yang bekerja di premis milik pengusaha tempatan dan warga asing.
Menurutnya, semua individu yang ditahan akan dibawa ke Pejabat Imigresen Ipoh bagi menjalani siasatan lanjut sebelum tindakan sewajarnya diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Kita telah memeriksa seramai 38 warga asing dan daripada jumlah itu, 22 orang ditahan untuk siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen dan Peraturan-Peraturan Imigresen.
"Jika hasil siasatan mendapati mereka melakukan kesalahan, tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang," katanya kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu JIM Perak di sini pada Isnin.

James berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah tinggal melebihi tempoh dibenarkan, tidak memiliki pas yang sah serta gagal mengemukakan pasport.
Menurutnya, warga asing yang ditahan terdiri daripada 16 warga Bangladesh, masing-masing dua warga Indonesia dan Pakistan, manakala seorang masing-masing dari Myanmar dan Kemboja, berusia antara 25 hingga 45 tahun.
James berkata, terdapat beberapa warga asing yang cuba melarikan diri ketika operasi dijalankan namun berjaya ditahan hasil tindakan pantas pasukan penguat kuasa.
Beliau berkata, operasi seumpama itu merupakan yang pertama dilaksanakan di negeri ini namun ia bukan yang terakhir kerana JIM Perak akan meneruskan penguatkuasaan secara berterusan bersama agensi lain, khususnya polis.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan majikan supaya mendapatkan pekerja asing melalui saluran yang sah dengan membuat permohonan kepada Jabatan Imigresen bagi mengelakkan pelanggaran undang-undang imigresen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

