25 kluster, subkluster Covid-19 dikesan

Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASK KINI] Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 25 kluster dan subkluster jangkitan koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 40 peratus daripada jumlah itu merupakan kluster perhimpunan Sri Petaling.

"Kluster lain sudah umum dan kita akan umum kluster kecil," katanya.

Menurutnya, susulan aktiviti tertumpu yang telah dijalankan kementerian melalui pengesanan, penyaringan, ujian ke atas kumpulan sasar yang berisiko tinggi, KKM telah mengenalpasti dua sub kluster saling berkaitan di Kuantan.

"Kluster Person Under Investigation (PUI) Bali di Kuantan ini adalah satu kluster yang melibatkan golongan pesakit dan beberapa anggota kesihatan dari sebuah pusat perubatan di Kuantan," katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Beliau berkata, sehingga hari ini seramai 20 individu telah dikenalpasti di dalam kluster ini.

"Seramai 14 daripadanya sedang dirawat di wad Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Pahang, dua telah sembuh dan tiga dirawat di unit rawatan rapi serta seorang telah meninggal dunia (kes ke-1575)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, seramai tiga anggota kesihatan terlibat dalam sub kluster tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Kes indeks iaitu kes positif ke-4684 bagi kluster ini mempunyai sejarah perjalanan ke Bali, Indonesia.

"Dia kemudiannya mempunyai kontak rapat dengan kes ke-1575 iaitu abang kepada kes indeks.

"Abangnya telah menjangkiti tujuh kes generasi kedua dan 11 kes generasi ketiga," katanya.

Menurutnya, KKM telah mengenalpasti 339 kontak rapat bagi sub kluster tersebut.

"Ujian saringan Covid-19 telah dijalankan terhadap mereka termasuk 202 anggota kesihatan," katanya.