Nahas konvoi RXZ: Mangsa sempat diajar mengucap dua kalimah syahadah

DUNGUN - "Saya sempat ajar mereka mengucap sebelum hembus nafas terakhir."
Demikian detik pilu dikongsi seorang pengguna jalan raya yang hanya ingin dikenali sebagai Apiz, ketika menceritakan pengalaman berdepan nahas ngeri membabitkan sekumpulan penunggang motosikal jenis Yamaha RXZ di Kilometer (KM) 246.4 Lebuhraya Pantai Timur fasa 1 (LPT1) menghala ke Kemaman, pada Sabtu.
Menurutnya, tragedi kira-kira jam 12.42 tengah malam itu mengorbankan empat nyawa penunggang motosikal berkenaan selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan 12 motosikal dan sebuah kereta.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat penunggang RXZ maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT
Empat maut nahas konvoi RXZ: Lebih 30 penunggang motosikal terbabit, 20 cedera - Polis
Nahas konvoi RXZ: Lebih 20 mangsa cedera dirawat di dua hospital
Nahas konvoi RXZ: Bapa sempat pesan anak rajin belajar
Nahas konvoi RXZ: Hujan, motosikal rosak punca bertolak lewat
Suasana pilu iringi pengebumian dua mangsa nahas RXZ
'Mereka suka kumpul dana bantu orang susah' - Rakan mangsa nahas ngeri RXZ
Mengimbau kembali detik itu, Apiz berkata, kejadian berlaku ketika dia sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Paka.

"Masa itu saya baru selesai mengisi minyak dan meneruskan perjalanan pulang. Sebaik tiba di lokasi saya nampak motosikal dan beberapa penunggang bergelimpangan.
"Masa tu rasa sedikit gugup, tapi sebab sebelum ni dah pernah beberapa kali membantu mengajar orang mengucap masa kes kemalangan," ujarnya.
Menurutnya, walaupun tidak mengenali mangsa yang terlibat dalam kemalangan tersebut, dia bersyukur kerana dapat membantu mangsa yang terlibat.
"Saya tidak terlibat dalam kumpulan (motosikal) ini dan hanya membantu mangsa-mangsa kemalangan sahaja.
"Saya langsung tidak mengenali mereka, tapi rasa lega sebab dapat memberikan sedikit bantuan dengan mengajar kesemua mangsa yang terbaring itu mengucap," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah mengesahkan tiga daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Beliau berkata, mangsa yang terkorban di tempat kejadian dikenali sebagai Che Mohd Sufian Che Ghani, 40; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33; dan Mohd Aizat Husni, 33.
Seorang lagi penunggang, Muhammad Safawi Md Noh, 24, disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Menurutnya, siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


