Nahas konvoi RXZ: Bapa sempat pesan anak rajin belajar

Muhammad Aqiff Amsyar menunjukkan gambar arwah bapanya semasa ditemui Kampung Bukit Merah, Paka pada Sabtu. Foto: Bernama
Muhammad Aqiff Amsyar menunjukkan gambar arwah bapanya semasa ditemui Kampung Bukit Merah, Paka pada Sabtu. Foto: Bernama
A
A
A

DUNGUN - Salah seorang penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di KM 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Kuantan hari ini sempat berpesan kepada anaknya supaya rajin belajar ketika menghantarnya ke asrama sekolah pada minggu lepas.

Muhammad Aqiff Amsyar Che Mohd Sufian, 13, yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, Kuala Terengganu berkata bapanya, Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, turut berpesan agar dia tekun menjalani latihan hoki demi merealisasikan cita-citanya menjadi pemain hoki yang berjaya pada masa depan.

"Ayah bersungguh-sungguh mengingatkan saya tentang perkara itu sepanjang perjalanan menghantar saya ke asrama SMK Padang Midin.

"Saya tidak menyangka kata-kata ayah saya itu menjadi pesanan terakhir sebelum meninggal dunia dalam kemalangan di LPT malam tadi," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Merah Paka, di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat penunggang RXZ maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT

Empat maut nahas konvoi RXZ: Lebih 30 penunggang motosikal terbabit, 20 cedera - Polis

Nahas konvoi RXZ: Lebih 20 mangsa cedera dirawat di dua hospital

Beliau berkata, pesanan terakhir bapanya itu akan sentiasa dikenang dan dijadikan pembakar semangat untuk belajar bersungguh-sungguh serta mencapai cita-citanya pada masa hadapan.

Dalam pada itu, anak sulung daripada empat beradik itu berkata bapanya membeli motosikal Yamaha RXZ terpakai tersebut pada 2024 sebelum membaik pulihnya secara berperingkat sehingga berada dalam keadaan baik untuk digunakan.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini ayah juga beberapa kali membawa saya menyertai konvoi motosikal RXZ bersama rakan-rakannya ke beberapa lokasi, sekali gus menjadikan kenangan itu antara saat paling bermakna yang akan saya kenang sepanjang hayat," katanya.

Bernama hari ini melaporkan empat penunggang motosikal maut manakala beberapa lagi cedera dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di KM 246.4 LPT berhampiran Kuantan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, seorang lagi mangsa Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan 12 motosikal itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!