Nahas konvoi RXZ: Lebih 20 mangsa cedera dirawat di dua hospital

KUANTAN - Sebanyak 20 mangsa yang cedera akibat kemalangan di KM 246.4 Lebuhraya Pantai Timur awal pagi ini menerima rawatan di dua hospital di sini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, 18 mangsa menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) manakala dua lagi dirawat di pusat perubatan Sultan Ahmad Shah di sini.
"Siasatan lanjut polis mendapati lebih 30 motosikal yang dipercayai berlumba terlibat dalam kemalangan mengakibatkan empat maut itu,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Ashari dilaporkan berkata, kemalangan kira-kira 1 pagi itu mengakibatkan Che Mohd Sufian Che Ghani, 40, Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan dan Mohd Aizat Husni masing-masing berusia 33 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md Noh, 24, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di HTAA.
Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila sebuah motosikal telah terlanggar bahagian belakang sebuah kereta dan terjatuh di lorong kanan menyebabkan beberapa lagi penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu terlanggar sesama sendiri di atas jalan.
Sementara itu, isteri Che Mohd Sufian, Faridah Mat Asri,39, berkata, dia mendapat maklumat mengenai kejadian menimpa suaminya daripada kenalan mereka kira-kira 1.30 pagi.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, suaminya bersama beberapa rakan ke Kuantan, antaranya untuk menikmati hidangan di sebuah restoran makanan tradisi Pahang yang terkenal di bandar ini.
"Saya sempat jumpa arwah petang semalam sebelum bawa anak-anak main pantai dan kali terakhir suami mesej dalam 12 tengah malam selepas itu tiada lagi," katanya ketika ditemui di Jabatan Perubatan Forensik HTAA di sini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
