'Mereka suka kumpul dana bantu orang susah' - Rakan mangsa nahas ngeri RXZ

Farah Aqilah menyiram air mawar di pusara suaminya, Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka di Dungun pada Sabtu.
Farah Aqilah menyiram air mawar di pusara suaminya, Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim yang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka di Dungun pada Sabtu.
A
A
A

DUNGUN – Di sebalik minat mendalam terhadap dunia permotoran, Allahyarham Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, seorang yang pemurah dan gemar melakukan kerja kebajikan.

​Sifat mulia salah seorang mangsa nahas ngeri RXZ di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada awal pagi Sabtu itu dikongsi sendiri oleh rakan dan ahli keluarganya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Limbong, Paka, di sini.

​Rakan arwah, Zakaria Sulong, 37, mendedahkan bahawa aktiviti 'ride' atau berkonvoi yang disertai kumpulan mereka bukan sekadar hobi kosong, sebaliknya sering dijadikan platform untuk mengumpul dana dan menyampaikan sumbangan infak.

​"Kumpulan kami yang disertai sekitar 100 buah motosikal berkumpul di Restoran Jaman Tory untuk urusan infak. Malah, konvoi ini juga sebenarnya dilakukan sebagai 'ride' persiapan awal untuk perhimpunan RXZ Members akan datang.

"Selepas selesai urusan tersebut, kumpulan dari Kuantan mahu bergerak pulang dan mengambil keputusan untuk menunggang bersama bagi menghantar sehingga ke Chukai," katanya.

​Mengimbas kembali detik sebelum kejadian, Zakaria mengakui dia sebenarnya berasa berat hati untuk menyertai konvoi berkenaan, hanya arwah Hafiz yang bersungguh mahu turut serta.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat penunggang RXZ maut nahas 12 motosikal dan kereta di LPT

Empat maut nahas konvoi RXZ: Lebih 30 penunggang motosikal terbabit, 20 cedera - Polis

Nahas konvoi RXZ: Lebih 20 mangsa cedera dirawat di dua hospital

Artikel Berkaitan:

Nahas konvoi RXZ: Bapa sempat pesan anak rajin belajar

Nahas konvoi RXZ: Hujan, motosikal rosak punca bertolak lewat

Suasana pilu iringi pengebumian dua mangsa nahas RXZ

​Sifat gemar berinfak Allahyarham Muhammad Hafiz turut diakui bapanya, Mazlan Abdullah, 61, yang memaklumkan kumpulan motosikal anaknya itu sememangnya konsisten mengadakan projek amal untuk membantu golongan yang memerlukan.

​Malah katanya, ketika berada di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), seorang pemilik restoran yang menziarahi Allahyarham menzahirkan rasa terkejut dan sedih atas pemergian mengejut anaknya itu.

​"Tauke restoran itu beritahu dia terkejut dengan kejadian tu sebab anak saya memang kerap datang ke kedainya bersama rakan-rakan.

"Sebelum ini pun, arwah pernah membuat kutipan dana dan menyerahkannya kepada pihak restoran berkenaan untuk diagihkan kepada golongan miskin. Selain berkonvoi, mereka memang suka kumpul dana untuk bantu orang yang susah," katanya.

​Sementara itu, suasana hiba menyelubungi pekarangan tanah perkuburan apabila isteri Allahyarham, Farah Aqilah Mohd Nazri, 31, dilihat mengalirkan air mata sewaktu menyiram air mawar di pusara suaminya yang selamat dikebumikan sekitar jam 4.45 petang.

​Farah Aqilah berkata, suaminya bertolak keluar rumah sekitar jam 6 petang pada Jumaat, namun segalanya berubah sekelip mata selepas menerima panggilan telefon daripada isteri rakan suaminya sekitar jam 1 pagi.

​"Masa dapat berita itu, saya sedang bersama anak kami yang baru berusia setahun tiga bulan. Kejadian ini terlalu mengejut, saya langsung tidak menyangka arwah akan pergi buat selamanya,"katanya sebak.​

​Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan nahas ngeri yang meragut empat nyawa itu berlaku apabila kumpulan penunggang terbabit terlibat dalam rempuhan berantai melibatkan 12 buah motosikal dan sebuah kereta menghala ke Kemaman.

​Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah mengesahkan tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah iaitu Che Mohd Sufian Che Ghani, 40; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33; dan Mohd Aizat Husni, 33.

​Seorang lagi penunggang, Muhammad Safawi Md Noh, 24, disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

​Siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar nahas masih dijalankan.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!