UUM jahit 6,000 PPE untuk kegunaan barisan hadapan HSB

Pelajar dan staf UUM bekerjasama menyiapkan PPE untuk kegunaan harian petugas barisan hadapan di HSB.
Pelajar dan staf UUM bekerjasama menyiapkan PPE untuk kegunaan harian petugas barisan hadapan di HSB.
A
A
A

SINTOK - [DIKEMASKINI] Sebanyak 6,000 peralatan perlindungan diri (PPE) dijahit oleh Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas menerima sumbangan 13,000 meter kain non-woven daripada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar bagi kegunaan harian petugas barisan hadapan hospital melawan covid-19.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), Profesor Dr Razamin Ramli berkata, pihaknya dimaklumkan petugas HSB memerlukan kira-kira 700 hingga 1,000 pasang PPE bagi kegunaan merawat pesakit setiap hari.

Menurutnya, idea untuk membantu HSB timbul bersama pasukan pereka cipta UUM bagi melaksanakan projek khas selepas melihat hospital tersebut masih kekurangan peralatan itu.

"Saya yakin mampu menyiapkan sekitar 50 pasang PPE sehari dan jumlah tersebut akan terus bertambah dengan kecekapan sukarelawan hasil kerjasama staf dan pelajar UUM.

"Selain itu, saya juga mendapatkan pertolongan rakan-rakan yang mahir dalam bidang jahitan supaya projek ini dapat disiapkan segera dalam tempoh dua minggu dan gulungan kain akan ditambah jika peringkat pertama selesai," katanya.

Razamin berkata, proses menyiapkan PPE akan dimulakan dengan penyediaan blok pola mengikut saiz ditetapkan HSB iaitu XL supaya dapat menutup keseluruhan anggota badan petugas terlibat dan kemudiannya dipotong dan dijahit.

Jelasnya, pihaknya berharap sumbangan tersebut mampu memudahkan tugasan frontliners memerangi penularan pandemik covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Farmasi HSB, Masfiza Abd Hamid berkata, pihaknya berbesar hati kerana UUM mahu membantu menjahit atau menyediakan peralatan itu bagi membantu petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sebanyak 10 gulung material non-woven disediakan untuk menyiapkan peralatan itu.

“Saya berterima kasih kepada UUM kerana sudi membantu pihak hospital dan tidak dilupakan kerjasama dengan Kolej Jururawat, Penjara Pokok Sena, Sukarelawan Kedah, Lembaga Zakat Negeri Kedah dan badan bukan kerajaan seperti Cancer Survivors Malaysia,"katanya.