Malam Wartawan Malaysia terima sumbangan RM775,000

Chamil (dua dari kiri) menerima replika cek bernilai RM300,000 daripada Petronas yang diwakili Pengurus besar Kanan Komunikasi Strategik, Datin Azrina A Aziz.
Chamil (dua dari kiri) menerima replika cek bernilai RM300,000 daripada Petronas yang diwakili Pengurus besar Kanan Komunikasi Strategik, Datin Azrina A Aziz.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Press Institute (MPI) menerima sumbangan dan tajaan kewangan berjumlah RM775,000 bagi menjayakan penganjuran Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2023, pada 9 Jun ini.

Sumbangan itu adalah daripada 45 organisasi korporat, media, agensi kerajaan, kerajaan negeri dan menteri termasuk Petronas iaitu sebanyak RM300,000 selaku penaja utama Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) MPI Petronas 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, sumbangan yang diterima itu juga ada dalam bentuk pembelian meja bernilai RM40,000, RM20,000, RM10,000 dan RM7,500.

"Antara kalangan yang telah menghulurkan sumbangan ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kerajaan negeri Sabah, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan New Sarawak Tribune.

"Selain itu, lima organisasi media tampil menjadi penaja, menjadikan bilangan penaja keseluruhannya sebanyak 45.

"Terdapat juga tujuh organisasi korporat dan sebuah yayasan yang buat pertama kalinya memberi sumbangan dan tajaan bagi menjayakan Malam Wartawan Malaysia 2023," katanya ketika Majlis menyampaikan replika cek, di sini pada Selasa.

Tambah Pengerusi MWM itu, Kuantum tajaan Petronas sebelum ini adalah sebanyak RM70,000 setahun namun pada 2005 dinaikkan menjadi RM100,000 dan bermula 2009 hingga kini jumlahnya menjadi RM300,000.

Beliau turut memaklumkan, pihak urus setia telah menerima 386 penyertaan bagi HKM 2022 bagi 17 kategori yang dipertandingkan.

Menurutnya, terdapat pertambahan 33 penyertaan berbanding HKM 2021 (353), antara kategori yang mengalami peningkatan bilangan penyertaan adalah kategori Infografik Terbaik.

"Dengan pertambahan 19 penyertaan iaitu 31 penyertaan, kategori Rencana Cemerlang dengan kenaikan 12 penyertaan iaitu 50 penyertaan, serta kategori Wartawan Muda A Samad Ismail dengan peningkatan 11 penyertaan iaitu 31 penyertaan.

"Kategori Tokoh Wartawan Negara dan Tokoh Media meningkat kepada satu penyertaan setiap kategori," katanya.

Jelasnya, sebanyak 44 organisasi media bersaing untuk memenangi hadiah-hadiah utama HKM 2022 iaitu Hadiah Kajai dengan nilai wang hadiah RM30,000 serta hadiah emas RM10,000 bagi 15 kategori.

Katanya, selain itu, turut ditawarkan hadiah perak bernilai RM1,500 dan hadiah gangsa RM1,000.